Gambar: INGimage
Lelaki juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Mungkin abda jarang melihat mereka merajuk dan sentiasa menerima kerenah anda seadanya. Tetapi bila kerenah anda melampaui batas, mereka mula berjauh hati. Jangan abaikan perasaan mereka. Ambil tahu apa yang anda perlu lakukan untuk memujuk hati si dia yang sedang merajuk.
Beri masa sendirian
Apabila lelaki kesayangan anda merajuk, mereka memerlukan masa untuk menenangkan fikiran. Jangan sangka perselisihan faham antara kalian hanya memberi kesan kepada anda sahaja. Kebiasaannya, mereka lebih banyak mendiamkan diri. Jangan diganggu dan beri mereka peluang untuk berehat daripada bebelan anda.
Sentiasa beri sokongan
Bila lelaki melayan rajuk, mereka tidak mengendahkan anda sebagai tanda protes. Jika dia sedang menonton rancangan televisyen kegemarannya, duduk dan temannya tanpa berbicara sepatah pun. Walau tiada komunikasi antara anda, dia tahu anda tetap kekal di sisi walau apa juga berlaku.
Jangan tanya perasaannya
Elak bertanya apa yang dia rasa kerana anda tahu dia sedang marah dan merajuk. Jangan buat si dia rasa jengkel dengan sikap sambil lewa anda.
Buang ego wanitamu
Bukan lelaki sahaja mempunyai ego, wanita juga punya rasa angkuh yang sama. Namun, tidak salah sekali sekala anda buang rasa itu demi si dia tersayang. Jika terlalu lama rajuknya, ucapkan maaf dan kucup mesra tangannya. Bertolak ansur itu kunci kejayaan sesebuah hubungan.
Buat kejutan sempurna
Jika wanita merajuk, lelaki sering menghadiahkan jambangan bunga bagi merawat hati nan lara. Apa kata anda lakukan perkara yang sama. Hadiahkannya coklat atau sediakan makan malam romantis dengan hidangan yang dimasak khas untuk si dia.
Tahu masa yang tepat
Sebaik sahaja berjaya mendapatkan senyumaanya kembali, duduk berbincang dalam keadaan yang tenang mengenai perselisihan faham tersebut. Jangan biarkan persoalan dibiarkan tergantung begitu sahaja. Berbincang dengan baik dan cuba selesaikan masalah bersama-sama.