Oleh: Mujahid Saddam
Gambar: shutterstock
Hubungan yang telah lama dibina kadangkala hilang rasa akibat keselesaan berpanjangan yang dilalui bersama pasangan. Keterujaan yang dirasakan sebelum ini kian luntur lantas ikatan yang terjalin menjadi bosan. Maka bermulalah episod yang sama setiap hari dimana tiada lagi elemen kejutan dalam perhubungan. Jangan risau, EH! ada tip bagi membantu anda untuk menyemarakkan lagi ikatan cinta yang dibina.
1. Ubah Penampilan Diri
Mengubah penampilan merupakan cara yang paling cepat untuk menambah percikan dalam hubungan anda. Tampil lain dari kebiasaan sama ada melalui cara pemakaian, gaya rambut atau teknik solekan. Bangkitkan rasa keterujaan dengan perubahan luaran yang boleh menarik perhatian si dia kepada anda.
2. Beri Layanan Istimewa
Ambil berat akan pasangan anda dengan melakukan sesuatu yang membuatkan mereka rasa dihargai. Dengan berbuat sedemikian, mereka juga mungkin akan menunjukkan tanda penghargaan kepada anda dengan berbuat sesuatu yang mengujakan!
3. Ucap Kata-Kata Cinta
Lafaz ayat cinta seperti “saya sayang awak” setiap hari agar pasangan tahu bahawa sisi romantis anda tidak pudar walau sudah lama bersama. Rasa cinta yang diucapkan mampu membawa rencah manis kepada perhubungan lalu menghangatkan lagi ikatan.
4. Buat Kejutan
Jika selama ini pasangan andalah yang sering membawa anda berjalan, lakukan yang sebaliknya dengan membuat perancangan sendiri. Beri kejutan dengan membawa mereka ke percutian atau kejutkan mereka dengan sesuatu yang mereka suka. Tidak kiralah ianya sekadar memasak makanan kegemaran, elemen kejutan itu yang mampu membuat hubungan anda bertambah seri.
5. Hangatkan Hubungan Intim
Memakai pakaian yang seksi, urut atau belaian manja dengan si dia adalah antara perkara yang boleh dilakukan bagi menghangatkan lagi hubungan intimasi. Bereksperimenlah dengan sesuatu yang belum pernah anda lakukan dengan pasangan. Ianya tentu dapat menimbulkan rasa baru kepada anda berdua.