Oleh Izni Jalil
Gambar: TPG News
Wanita secara lahiriah adalah manusia yang suka dilindungi dan tidak boleh dibiar sunyi. Jika ada lelaki yang melayan mereka penuh tertib dan hormat, peratus untuk mereka jatuh hati adalah tinggi. Ketahui cara untuk mengawal rasa diri agar tidak terlalu mudah jatuh kasih dan menghargai cinta sejati.
Ambil masa
Wanita yang baru putus cinta lebih mudah untuk menerima mana-mana lelaki yang hadir dalam hidup mereka seterusnya, dan ini dipanggil hubungan rebound. Apa kata anda ambil masa untuk merawat luka yang ada. Jangan terlalu cepat menganggap lelaki yang baik kepada anda itu adalah ‘The One’. Anda bisa buat keputusan yang salah dek terlalu cepat ingin menggantikan kekasih yang hilang tanpa berfikir panjang.
Jadi sibuk
Masa yang terluang tanpa sebarang aktiviti menyebabkan anda bosan dan fikiran menerawang memikirkan betapa sunyinya hidup tanpa kekasih. Apa kata isi masa lapang bersama rakan baik anda melakukan pelbagai aktiviti menarik untuk mencatat momen indah dalam hidup. Anda juga boleh melaksanakan perkara berfaedah untuk diri sendiri seperti bersenam, beriadah aktiviti lasak mahupun belajar ilmu baru seperti memasak dan menjahit.
Hormat diri sendiri
Wanita yang kerap jatuh cinta sering dianggap mereka yang tidak punyai harga diri dan menganggap cinta itu terlalu murah harganya. Jaga maruah dengan jadi lebih memilih apabila tiba bab mencari kekasih hati.
Bijak dalam membezakan
Tahu yang mana satu perasaan cinta sejati dan tarikan sementara dek rupa parasnya yang menawan. Kerana itu beri peluang kepada hubungan yang terjalin itu melalui fasa perkenalan dan elak diri dari terlalu cepat termakan budi atau kata-kata manis.