Jika dilihat di dada akhbar, kes penderaan wanita di Malaysia semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi yang melibatkan penderaan domestik. Penderaan domestik secara amnya adalah mereka yang didera oleh individu yang dikenali dan melibatkan orang terdekat seperti suami, adik-beradik, keluarga mentua atau ibu bapa.
Sememangnya wanita itu sering dianggap lemah dan persepsi itu mudah diambil kesempatan oleh para lelaki. Apatah lagi jika yang mendera adalah suami atau ahli keluarga yang lain. Akibatnya kepada mereka yang didera amatlah teruk dan boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka.
Ketahui akibatnya apabila wanita didera tanpa had dan perikemanusiaan.
Kesihatan Fizikal
Kesan tumbukan, tendangan serta pelbagai lagi kontak fizikal yang ganas boleh menyebabkan kecederaan berpanjangan akibat pendarahan dalaman serta keretakan tulang. Ada kecederaan yang mengakibatkan kecacatan sepanjang hidup, seperti akibat simbahan asid dan patah tulang belakang.
Kesihatan Mental
Hidup wanita yang didera sentiasa dalam ketakutan, walaupun berada dalam rumah sendiri. Walhal rumah sepatutnya tempat yang paling selamat dan selesa. Selain itu mereka tidak yakin pada diri sendiri kerana mereka yang didera secara emosi mahupun fizikal dipaksa mengikut keputusan orang lain, dan payah untuk membuat tindakan dan keputusan sendiri.
Generasi Tidak Sihat
Anak yang lahir dalam persekitaran negatif mempengaruhi perkembangan otak dan sikap yang tidak sihat. Melihat ibu mereka didera dari kecil menyebabkan mereka menganggap adalah tidak salah untuk mendera, dan ini akan diteruskan kepada pasangan apabila mereka dewasa kelak.