Gambar: Instagram Azlee Khairi
Masih ingat komersial Brylcream, yang mana seorang jejaka berambut ‘tegak’ berada di kaunter imigresen? Menerusi iklan tersebut ramai yang jatuh cinta dan mahu tahu siapa wajah yang jadi igauan itu. Jika ada yang tidak tahu, Azlee Khairi adalah gerangannya.
Namun, dunia komersial atau lakonan bukanlah cinta pertamanya kerana Azlee terlebih dahulu menyemai ‘cinta’ di padang bola sepak. Seawal usia sembilan tahun jejaka kelahiran Kuala Kangsar ini sudah berjinak-jinak dengan sukan bola sepak, dan inilah dunianya sebelum mengambil keputusan menggantung but sukan dan jadi serius di dalam dunia lakonan.
Apa misi Azlee dalam bidang seni?
Saya mahu jadi penghibur yang versatil. Buka ruang untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Saya turut bercita-cita mahu duduk di kerusi pengarah. Saya sendiri bekas graduan jurusan filem dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Apa yang menggerakkan hati mahu terjun ke bidang seni?
Sejujurnya saya tidak terfikir pun mahu ke ‘sini’, lebih-lebih lagi latar belakang keluarga saya tiada seorang pun yang terlibat di dalam industri hiburan. Hasrat awal sekadar mahu menyambung pengajian, dan kemudian diberikan peluang untuk mengambil jurusan seni persembahan, di sinilah ruang untuk saya mengasah bakat bermula.
Tidak sayang meninggalkan bola sepak?
Sayang memang sayang kerana cinta pada bola sepak bercambah sejak darjah tiga lagi dan boleh dikatakan bola sepak itu sudah jadi sebahagian daripada diri saya. Namun, saya percaya dengan usaha bersungguh-sungguh, kita akan berjaya walau dalam apapun bidang yang kita ceburi.
Cabaran yang dialami sejak bertukar profesion?
Dahulu semuanya terjaga, daripada makan minum hinggalah waktu tidur, kerana sebagai ahli sukan kita perlu menjaga stamina. Berbanding hari ini, kesibukan di set dan jadual kerja yang tidak menentu sedikit sebanyak menjadikan hidup saya tidak terurus. Itu menyedarkan saya, untuk capai sesuatu bukanlah mudah.
Pemain bola sepak dan pasukan yang diminati?
Ronaldinho pemain pujaan saya, dan saya penyokong setia pasukan Liverpool.
Adakah glamor itu membebankan?
Sedikit sebanyak ya. Saya mula rasa diperhatikan pabila berada di tempat awam, namun secara tidak langsung ia mendidik saya untuk jadi lebih baik dan lebih berdisiplin.
Kelemahan diri Azlee yang mahu diperbaiki?
Saya bukan bijak menyimpan wang. Saya bukanlah datang dari keluarga yang mewah. Jadi pabila dibukakan pintu rezeki yang lebih, saya banyak menghabiskan wang untuk membahagiakan keluarga, dan itu sudah jadi matlamat saya sejak dulu lagi.
Apa yang membuatkan Azlee tertekan?
Saya stres bila saya tidak dapat deliver apa yang dimahukan oleh pengarah. Bila melihat semula lakonan di monitor, ia membuatkan saya sering berfikir dan berasa tidak puas hati.
Jadi apa yang Azlee lakukan untuk mengatasi stres?
Saya selalu motivasi diri sendiri. Berikan ruang untuk perbaiki diri dan sentiasa percaya pada diri sendiri. Biasanya, jika punya masalah saya senang berkongsi bersama keluarga. Kebolehan Azlee yang tidak ramai ketahui? Saya sebenarnya pandai membuat puding karamel. Malah, dulu saya pernah berniaga puding karamel di bazar Ramadan di Kuala Kangsar.
Prinsip hidup Azlee?
Bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Dan saya percaya pada rezeki.
Janji temu tidak sempurna jika…
Jika pasangan tidak bijak berkomunikasi. Pada saya komunikasi adalah tunjang pada sesuatu perhubungan.