Kes lelaki berpaling dari cinta yang dibina bukanlah perkara baru. Malah ia bagaikan sinonim dengan perangai lelaki yang mudah berubah hati dan mencari pucuk muda atau baru. Ramai wanita yang kerap mengajukan alasan untuk tidak mendirikan rumah tangga atau mengelak komitmen kerana takut dikecewakan insan bergelar lelaki. Segala yang buruk dan salah itu adalah lelaki sementelah wanita adalah golongan yang lemah.
Namun, bukan semua kes berlaku sama. Sedangkan manusia dicipta berlainan rupa dan bentuknya, begitu juga personaliti serta peribadi setiap dari kita. Dan eloklah kita melihat kelemahan atau kesilapan sendiri sebelum tegar menuding jari kepada orang lain.
Kehidupan rumah tangga Alia dan Yasir disifatkan sebagai bahagia. Pasangan yang sama cantik dan sama taraf kebijaksanaannya. Alia yang berkulit kuning langsat dan berwajah bujur sirih itu mungkin adalah akauntan paling jelita di syarikat dia bekerja. Yasir pula berbadan tegap dan punyai pesona tersendiri sebagai arkitek di salah sebuah syarikat perumahan terkemuka di ibu kota Kuala Lumpur.
Rakan-rakan serta keluarga melihat mereka sebagai pasangan paling secocok dan menjadi contoh buat semua. Ditambah pula dengan kehadiran dua cahaya mata yang begitu elok rupa paras mereka. Ah, siapa yang tidak mahu berada di posisi mereka kini?
Di sebalik semua kebahagiaan luaran yang dilihat manusia, siapa yang menyangka kehidupan rumah tangga mereka punyai cela? Yasir adalah lelaki yang dibesarkan dalam keluarga yang tersusun atur hidupnya. Walau dia punyai adik beradik perempuan, namun ibu bapanya mendidik kesemua anak melakukan kerja rumah tanpa berkira. Sua apa juga kerja rumah, pasti Yasir boleh lakukannya dengan baik.
Alia sering bersyukur dengan kehadiran suaminya yang sekali gus meringankan beban dia sebagai ibu dan juga isteri berkerjaya. Tambahan pula mereka tidak punyai orang gaji dan Yasir selesa untuk tinggal di rumah bersama keluarganya sahaja tanpa kehadiran orang lain. Lalu, segala kerja rumah dan perihal mendidik anak dilakukan bersama. Yasir amat menyayangi anak-anak serta isteri yang sudah dikenalinya sejak 8 tahun dahulu. Hubungan itu bukan saja berlandaskan nama sebagai suami dan isteri, malah teman baik dan juga kekasih sejati.
Kebaikan Yasir kadang tanpa sedar membuatkan Alia lupa bahawa tanggungjawab dia yang utama adalah menggembirakan hati suaminya. Hukum menyatakan syurga seorang isteri itu adalah pada suaminya, justeru wajib untuk seorang isteri patuh dan bertanggungjawab pada kewajipannya. Membasuh kain, mengemas rumah mahupun memasak itu sebenarnya bukan tanggungjawab wanita untuk melaksanakannya, namun jika dilakukan pasti akan dapat menyenangkan hati suami. Bukanlah Alia tidak melakukan kerja rumah atau mendidik anak dengan baik, tetapi satu perkara yang dia sering pandang enteng – nafsu seorang lelaki.
Sejak anak-anak mereka dilahirkan, 95 peratus perhatian Alia beralih kepada mereka. Seringkali hubungan intim antara dia dan Yasir tidak berlangsung indah seperti beberapa bulan pertama perkahwinan. Baru saja ingin memulakan langkah asmara, Alia teringat mengenai susu Anis dan Ali belum disimpan di dalam peti sejuk. Tangisan anak kadang ‘merencatkan’ keinginan untuk dia melakukan hubungan seks bersama suami.
Ada pula ketika terlalu banyak kerja di pejabat menyebabkan badannya kepenatan dan tiada mood untuk berasmara, ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang merengek mahu itu dan ini. Itu belum lagi ditambah dengan tempoh seminggu dua Alia kedatangan haid yang menjadikan ia mustahil untuk dia dan Yasir melayari bahtera cinta.
Alasan demi alasan diterima Yasir dengan baik kerana dia faham Alia menanggung beban tanggungjawab yang besar sebagai isteri, ibu serta pekerja yang berwibawa. Namun, lama kelamaan dia jadi dangkal dengan perkara itu bilamana Alia semakin lama semakin tidak begitu berminat dalam memperbaiki hubungan kelamin mereka. Bagaikan Yasir sahaja yang terhegeh-hegeh menagih kasih daripada isterinya.
Alia perlu tahu yang dia juga bekerja, malah turut membantu perihal di rumah. Memasak, membasuh baju dan menjaga anak dilakukan dengan hati gembira demi membuatkan Alia senang dengan kehadirannya. Sudah bertahun Alia tidak menyambut nya di muka pintu tatkala dia pulang dari kerja. Tiada ciuman hangat yang menggambarkan kegembiraan Alia melihat suaminya pulang ke rumah.
Apatah lagi segelas minuman, tidak kiralah jika air masak sekalipun dihulur Alia bagi membasahkan tekaknya yang penat bekerja mencari nafkah untuk mereka sekeluarga. Dia sudah cuba sehabis baik untuk menjadi suami dan teman yang setia, namun kenapa Alia tidak menghargainya?
Mahu sahaja dia memuaskan nafsu sendiri, namun dia sedar dosa yang ditanggung seorang lelaki jika memuaskan nafsu sendiri walhal dia punyai isteri di sisi. Jika pun mereka bersanggama, Alia seakan acuh tidak acuh dengan alasan mengantuk dan sakit badan. Bayangkan ada ketika dia perlu menunggu sehingga sebulan lamanya untuk Alia terbuka hati berdamping dengannya di kamar tidur!
Lama kelamaan, Yasir sudah mula berputus harap. Sudah berkali-kali dia ditolak mentah-mentah oleh isterinya untuk bermesra di kamar. Penat, tidak mahu, tiada mood, sakit badan yang hanya didengari dari Alia – sehingga dia malas untuk memulakan langkah pertama lagi.
Wahai wanita, ketahuilah bahawa lelaki diciptakan dengan nisbah 1 nafsu dan 9 akal di mana nafsu yang satu itu jika tidak dijaga dengan baik, ia mampu menggunakan 9 akal untuk mencari jalan penyelesaian yang lain. Lumrah lelaki, wanita adalah subjek utama nafsunya kerana itu banyak sejarah yang mencatatkan betapa wanita punyai pengaruh besar dalam kehidupan lelaki.
Dalam Islam juga menyatakan terdapat bidadari cantik di syurga sana untuk lelaki dan emas untuk wanita yang beriman. Lihatlah betapa lelaki itu menginginkan wanita untuk melengkapkan dan membahagiakan hidup mereka.
Wajahnya yang kusut dan kepenatan jelas terlihat ketika di pejabat. Sima, rakan sepejabatnya sering bertanyakan apa masalah yang dia hadapi. Tidak mungkin Yasir akan menceritakan perihal bawah selimutnya kepada wanita lain. Sima yang dia anggap sebagai rakan sepejabat seperti yang lain semakin mula mendapat tempat dalam hidup Yasir dari hari ke hari.
Mana tidak Sima dapat mencuri perhatian Yasir apabila Sima begitu mengambil berat kebajikan lelaki itu. Setiap hari ada saja perkara baru yang ingin dikongsi bersama. Setiap petang, Sima hulurkan kopi agar Yasir ada tenaga untuk bekerja. Pernah juga Sima ambil kesempatan mengurut perlahan bahu Yasir. Terkejut dengan perilaku itu dan dek kesedaran bahawa dia begitu mencintai isterinya, Yasir jauhkan diri daripada Sima.
Wanita jalang jika dia mahu, akan diusahakan sehingga dapat walau di jarak jauh mana sekalipun. Pejabat itu tidak besar, pusing kiri mahupun kanan masih terlihat wajah Sima di mana-mana. Wanita itu meminta maaf atas kekhilafannya, lalu hubungan berlandaskan rakan sepejabat itu pun bertaut semula.
Di rumah, Yasir makan hati. Alia masih tidak sedar akan apa masalah yang dihadapi dia dan Yasir.
Dia yang begitu sibuk dengan hal di pejabat dan urusan anak-anak tidak langsung ambil kisah akan keinginan Yasir yang tinggi melangit itu. Yasir begitu sayangkan isterinya. Setiap hari dia berharap agar Alia berpaling kepadanya dan memberi senyuman paling manis sambil bertanyakan bagaimana perihal kerjanya di pejabat, sihatkah suaminya itu, atau paling tidak pun usaplah rambutnya seperti yang Alia lakukan dahulu. Dia rindukan belaian isterinya. Dia mahu Alia tahu yang lelaki itu sanggup berkorban apa sahaja buat kekasih yang dicintainya itu.
Namun, hari demi hari harapan Yasir dibiar begitu sahaja. Itulah gunanya komunikasi dalam rumah tangga. Apa jua perkara, rasa tidak puas hati malah pujian sekalipun perlu diutarakan sejujurnya agar kedua suami isteri tahu apa yang terjadi antara mereka. Jangan pernah malu untuk berbincang perihal tabu seperti hubungan seks. Kebanyakan penceraian yang berlaku di dalam dan luar negara adalah disebabkan kesibukan kerja dan rasa tidak puas hati mengenai kehidupan seks bersama pasangan.
Di pejabat, ketika Yasir begitu asyik membuat kertas kerja, Sima masuk ke pejabatnya dengan langkah penuh yakin. Wanita itu cantik dalam persalinan skirt ketat paras lutut yang menampakkan susuk tubuh menggiurkan. Dia tanpa dipinta mendekati Yasir perlahan dan menyentuh lembut tangan lelaki itu, dan memeluk erat Yasir. Demi Tuhan, gemuruh hatinya tidak terkata. Entah mengapa dia membiarkan sahaja pelukan itu.
Dia jadi lupa janjinya pada Alia dan kasihnya pada anak-anak. Nafsu syaitannya bergejolak agar dia ‘menikmati’ apa yang Sima lakukan. Dia yang sememangnya dahagakan kasih dan belaian isterinya menjadi terlalu asyik dengan apa yang berlaku. Salahkah dia lakukan ini jika isterinya tidak mahu ‘memberi’?Apa yang dia lakukan sehingga Alia tidak mahu memandang dan membelai dia seperti Sima lakukan?
Demi menghalalkan perkara, Yasir nekad membuat keputusan untuk mengahwini Sima. Meraung kuat Alia tatkala dia diberitahu mengenai keinginannya berkahwin dua. “Apa salah saya abang?!!” Alia membentak kuat sambil berjujuran air matanya. Pedih hati Yasir melihat kekecewaan yang dialami Alia. ‘Akukah yang bersalah kerana menduakan Alia? Atau Alia yang seakan tidak mencintai aku lagi?’ Pelbagai persoalan bermain di benak Yasir.
Dia begitu menyayangi keluarganya, namun keinginannya sebagai seorang lelaki juga perlu untuk dipenuhi. Kasih dia pada Alia terlalu tinggi berbanding perhatiannya kepada Sima. Ada ketika dia terfikir adakah ini tarikan sementara sementelah isteri tidak mempedulikannya.
Buat wanita yang sudah punyai suami di sisi, hargai mereka dengan curahan kasih sayang dan kelembutan. Berkomunikasilah antara kalian. Kongsi suka dan duka. Bukan fizikal saja perlu dijaga, semaikanlah juga kasih di ruang kamar. Sesungguhnya fitrah manusia memerlukan cinta dan kasih sayang.