Oleh: Hafizan Mohd
Gambar: INGimage
The word ‘friendship’ has become very cheap in the modern times – tulis seorang blogger dalam salah satu post-nya “Friends – Real or Acquaintance or Virtual”. Tulisan pendek blogger yang saya tidak dapat kenal pasti siapa ini membuka mata akan isu ini – antara kenalan dan sahabat. Maksudnya jika dilihat secara kasar sama sahaja tapi cuba fikirkan sejenak, jika anda punya masalah berapa ramai kenalan dalam senarai telefon pintar anda itu mampu buat anda menekan butang panggilan dan bercerita tentang masalah yang ada? Sebelum anda meneruskan membaca artikel ini cuba lihat telefon bimbit anda tadi dan lihat peratusan mereka yang boleh menjadi tempat mengadu, berkongsi cerita. 50 peratus, 30 peratus atau tiada langsung?
Cara kita berkenalan hari ini berbeza. Sebelum adanya Friendster, MySpace dan Facebook cara orang dulu mencari kenalan sama ada kawan atas kawan, di tempat kerja atau medium majalah. Saya masih ingat jika membeli URTV dulu ada satu kolum khusus untuk mereka yang mencari kenalan. Dan menerusi cara ini pembaca boleh menghantar gambar dengan butir-butir peribadi mereka seperti nama, umur dan alamat. Jadi jika ada yang berkenan bolehlah mengirim surat. Rumit bukan? Tapi hari ini berbeza ceritanya – Saya add awak, awak approve dan kita kawan. Semudah itu dan bila agak-agak tiada chemistry klik saja butang unfriend atau unfollow atau buat tidak tahu sahaja.
Hal ini buat saya fikir cara berkenalan sebelum zaman milenium lebih mencabar, lebih menarik dan mengujakan. Contohnya jika Ali nak berkenalan dengan Aminah, Ali kenalah mengutus surat dan surat yang dikirim belum tentu boleh sampai dengan cepat apatah lagi kalau Ali tinggalnya di Bentong dan Aminah di Kuang. Jika dapat bertukar nombor telefon setiap masa terluang yang ada akan Ali ‘bergayut’ di telefon awam. Dan ketika itu berusahalah Ali mendapatkan duit syiling untuk mendengar suara Aminah.
Biarpun konsepnya serupa, di mana Ali ingin berkenalan dengan Aminah kerana dia sukakan raut wajah cantik milik Aminah. Tetapi jalannya perkenalannya berbeza kerana mengambil masa dan kepercayaan Aminah. Jika Aminah memberi respons Ali akan berusaha lebih keras untuk menjadi temannya dan hal ini akan membuatkan Aminah menghargai cara Ali kerana kesungguhannya. Rupa mungkin boleh di tolak ke tepi. Hal ini berbeza pada zaman sekarang dengan satu ucapan hai di ruangan chat Facebook anda boleh mengenal rapat sesiapa saja yang anda mahu. Tapi mungkin tidak secantik kisah Ali dan Aminah kerana saya percaya jika jalan mengenal seseorang itu sesuatu yang sukar, kita akan lebih menghargai usaha yang kita buat.
TEORI KENALAN DAN SAHABAT
Jika dalam carian Google anda akan bertemu beberapa teori yang membezakan antara kenalan dan sahabat. Lihat perbandingan di bawah daripada apa yang saya kumpul dan simpulkan tentang teori logik penulis-penulis virtual ini tentang kenalan dan sahabat.
KENALAN
A total stranger! Yang mungkin anda kenal secara tidak dirancang. Bertemu sekali atau dua kerana urusan kerja dan mungkin terserempak di luar waktu kerja. Tidak perlu terlalu rapat dan perbualan hanya sekadar casual chat sahaja.
SAHABAT
Perkenalan yang dibina mungkin sejak anda membesar bersama atau memasuki kolej yang sama. Susah senang dilalui bersama dan tentu saja mereka ini orang yang anda boleh harapkan bila anda sedih, marah atau apa saja. Seseorang yang anda percaya dan punya mutual understanding.
Tetapi itu hanya teori. Berdasarkan pengamatan melihat juga mendengar, manusia hari ini begitu terbuka untuk bercerita siapa mereka pada dunia. Sekali pun baru bertemu sekali dua kita tidak segan membuka ‘aib’ diri sendiri pada orang luar. Bercerita tentang hal peribadi diri atau orang lain bagaikan sudah kenal lama yang sebenarnya hanya menjerat diri sendiri. Mereka bagai tidak takut atau segan malah bangga. Anyone can be everyone soulmate agaknya kerana saya pasti sesiapa saja pasti ada hal yang patut menjadi rahsia mereka dan hanya boleh diceritakan pada individu tertentu sahaja dan individu inilah yang kita panggil sebagai sahabat. Yang boleh terima bodoh kita, bijak kita dan takkan bercakap buruk di belakang kita. Tetapi jika kita boleh bercerita tentang diri kita dengan orang yang asing yang belum tentu kita boleh percaya bagaimana pula ceritanya? Silap hari bulan menjadi buah mulut orang dan yang malu diri sendiri.
JADI SIAPA BELAHAN JIWA ANDA?
Blog gaya hidup terkenal, thoughtcatalog.com dalam artikel 16 Weird Things Best Friends Do That Prove They’re Your Soul Mates menulis seseorang yang dipanggil soulmate (belahan jiwa) adalah yang berani jujur dengan anda. Mereka tidak hanya mahu sekadar memuji tetapi membetulkan kerana mereka percaya dan berani bercakap perihal buruk di depan anda tetapi bukan di belakang dan selalunya ia akan terjadi apabila dua insan ini sudah satu punya ikatan kepercayaan yang kuat sama ada pasangan suami isteri atau seorang ibu dan anaknya. Jika anda punya kawan yang adakalanya bercakap benar dan ‘menyakitkan’ hati anda teruskan berkawan dengan mereka kerana setidaknya mereka jujur – ‘real’ dan tidak fake. Tidak sekadar hanya mahu membuat pujian palsu apa yang anda pakai setiap hari cantik dan memberi jawapan kurus setiap kali anda bertanya jika anda naik badan atau tidak. Apa yang pasti jika seseorang itu belahan jiwa anda, mereka boleh tahu bila anda sedih, gembira dan bila anda berbohong dengan mereka.
Berhati-hatilah dalam memilih kawan. Tidak salah mengenal ramai orang kerana dengan mengenal ramai orang secara tidak langsung kita boleh belajar tentang hidup. Dorothy Rowe menerusi artikelnya di laman web The Guardian menulis, seorang kawan adalah cerminan siapa diri kita. Jika baik pengaruhnya, baiklah yang kita jadi jika sebaliknya terpulang pada diri kita untuk mengikut atau tidak.
SATIRA PERHUBUNGAN
Richard Linklater, Ethan Hawke dan Julie Delphy memberi suntikan realisme dalam trilogi ini. Ya, mungkin ia masih menjual false hope kepada si hopeless romantic tetapi setidaknya satira ini menjadi sebuah fiksyen yang tidak over dramatic. Ia diadun dengan persoalan what if? Dan realiti dalam perhubungan.
BEFORE SUNRISE (1994)
6 Jun 1994, Celine dan Jesse bertemu dalam perjalanan menaiki kereta api yang sama. Jesse membaca memoir Klaus Kinski, All I Need is Love dan Celine membaca novel erotik George Bataille. Mereka berkenalan, berbual panjang dan kisah tentang kenalan, sahabat dan belahan jiwa bermula di sini.
BEFORE SUNSET (2005)
Short and sweet! Satira cinta paling romantis dalam sejarah. Setidaknya tidaklah sedramatik Romeo dan Juliet atau Kassim Selamat dan Sabariah. Setelah sembilan tahun Jesse dan Celine bertemu kembali di Paris. Jesse melancarkan novel tulisannya This Time di Shakespeare and Company tentang pertemuannya bersama Celine. Sebelum harus pulang ke Amerika Syarikat mereka menghabiskan masa di Paris sebelum terbenamnya matahari.
BEFORE MIDNIGHT (2013)
Dalam satu babak panjang di meja makan filem ini menjawab persoalan siapa sebenar kenalan, sahabat dan belahan jiwa. Dialog ini cukup besar maknanya untuk kita lihat kembali bagaimana kita menghargai insan-insan yang dekat dengan kita.
“Anything is so ephemeral. Just like our life – we appear and we disappear. And we are so important to some but we are just passing through…”