Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Ianya bukan harta atau kekayaan yang dapat memberi kebahagiaan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Tetapi keharmonian, tolak ansur, saling maaf memaafi dan kasih sayang yang dapat menjamin hubungan itu berkekalan hingga ke penghujungnya.
Sememangnya ia bukan mudah untuk memastikan ikatan kekeluargaan itu sentiasa dalam keadaan baik kerana ibarat pepatah sedangkan lidah boleh tergigit, inikan pula suami isteri. Tidak semestinya usaha sekecil itu untuk memastikan kegembiraan keluarga tidak bermakna, malah selagi ada usaha pasti ada hasilnya.
EH! kongsikan perkara yang ramai anggap remeh yang mungkin sedikit sebanyak dapat memberikan kebahagiaan dalam rumahtangga kalian.
Ucap terima kasih
Mungkin kita tidak perasan yang kita sering mengucapkan terima kasih pada orang lain, namun tidak pada pasangan kita. Untuk mengelakkan dari masalah tidak mengambil berat antara satu sama lain, cuba untuk berikan tanda penghargaan kepada pasangan sekurang-kurangnya sehari sekali. Cukuplah dengan ucapan terima kasih sudah boleh membuat pasangan rasa dihargai.
Lakukan sesuatu yang anda pernah buat ketika baru sahaja mengikat tali perkahwinan.
Membakar kek dari hasil tangan sendiri, menghadiahkan sejambak bunga, meninggalkan nota cinta di dalam tas kerjanya atau mungkin tinggalkan mesej melalui peti simpanan suara melalui telefon bimbit. Bukan hanya boleh mengembalikan memori indah kala baru sahaja bersama, malah sekaligus mengimbas kembali saat bahagia kala bulan madu kalian. Pastinya perasaan cinta dan kasih itu segar semula.
Aktif bersama-sama.
Bagaimana hendak pastikan si dia turut serta aktif bersama? Mungkin dengan meminta pertolongan di taman rumah anda, mengubah suai dekorasi kamar tidur, atau mungkin anda ingin merasakan hasil tangannya melalui masakan. Ianya peluang baik untuk anda menghabiskan waktu bersama dengan lebih bermakna.
Layan pasangan anda dengan penuh hormat dan sanjung si dia di khalayak ramai.
Tidak kira sama ada berada di parti, janjitemu bisnes atau hanya bersiar di pusat membeli belah, berikan si dia signal yang anda sentiasa mengambil berat. Pegang erat tangannya, senyuman atau mungkin dakap si dia di sisi pasti buatkan hatinya bahagia bersama anda. Elakkan membuat lawak sinis yang boleh memalukan pasangan anda di hadapan khalayak ramai mahupun teman rapat kalian.
Belajar untuk menyoal dengan baik.
Pastikan anda menyoal dengan tutur kata yang baik agar ia tidak mengundang salah faham. Sebagai contoh, jika anda memerlukan pertolongan si dia kala di dapur, cuba untuk bertanya dengan penuh kelembutan dan kemesraan agar apa yang diminta itu tidak bertukar menjadi paksaan. Juga jangan lupa untuk tunaikan janji anda jika sudah bersetuju akan permintaannya. Gagal untuk menepati janji buatkan keharmonian itu berkurangan.
Jujur tentang cinta anda padanya.
Tuliskan nota cinta di atas sekeping kertas atau mungkin melalui e-mel sudah boleh memberitahu si dia akan perasaan cinta anda padanya. Kongsikan padanya segala kebahagiaan yang si dia berikan kepada anda, tuluskan pernghargaan atas segala pengorbanannya atau mungkin jelaskan harapan dan perancangan masa hadapan yang kalian inginkan. Dan setahun sekali, jangan lupa untuk memperbaharui komitmen kalian dalam perhubungan serta sambut ulang tahun perkahwinan dengan membawa si dia ke tempat percutian romantik.
Utamakan hubungan perkahwinan kalian.
Ia umpama satu peraturan yang paling penting dalam sesebuah perhubungan adalah mengutamakan hubungan kalian. Sebagai contoh, jika anda mempunyai masa lapang, utamakan untuk meluangkan waktu bersama si dia terlebih dahulu daripada perkara lainnya.