Oleh: Mujahid Saddam
Gambar: INGimage
Pasangan anda pernah curang dalam perhubungan? Atau anda sendiri pernah berlaku curang dengan lelaki lain? Jika anda mahukan hubungan bersama pasangan kembali pulih setelah dilanda badai akibat bermain cinta dengan orang ketiga, EH! ada tip untuk bantu anda menghadapi masalah ini seterusnya memulihkan balik ikatan antara anda berdua.
1. Bersikap Jujur
Setiap perkara yang dilakukan haruslah berlandaskan kejujuran. Jika anda berlaku curang, jujurlah dengan pasangan. Beritahu apa yang terjadi dan kenapa ianya berlaku. Jika si dia yang curang, jangan takut untuk bersuara. Luahkan perasaan anda pada si dia. Anda juga haruslah jujur dengan perasaan sendiri sama ada sudah bersedia untuk menerima kembali si dia yang curang, atau masih marah atas apa yang berlaku. Mungkin kejujuran kedengaran seperti susah untuk dilakukan dalam situasi begini, tetapi percayalah, ianya adalah langkah pertama untuk anda menyelamatkan hubungan jika anda masih sayangkannya.
2. Cari Punca
Mungkin ada sebab berlakunya kecurangan dalam perhubungan. Bincang dengan pasangan anda secara baik, cari sebab atau puncanya. Adakah kerana si dia tidak diberikan perhatian yang sewajarnya? Tiada lagi kehangatan dalam perhubungan? Atau sememangnya tiada sebab yang wajar untuk bermain kayu tiga? Fikir secara mendalam dan jangan terburu-buru dalam mencari jalan penyelesaian. Yang penting, janganlah bersikap menunding jari kerana ianya hanya akan menambah kepada kerumitan.
3. Mulakan Hidup Baru
Untuk anda melupakan titik hitam yang berlaku, seeloknya mulakan dengan kehidupan baru. Tanamkan di fikiran bahawa anda sudah bersedia untuk melangkah ke hadapan tanpa mengungkit lagi kisah lama. Buat aktiviti bersama yang dapat merapatkan lagi hubungan anda berdua. Jika boleh, bercuti bersama atau pergi ke tempat lain yang membolehkan anda lari sebentar dari situasi tegang di rumah. Lari bukanlah bermaksud anda tidak mahu menghadapi situasi, tetapi lebih kepada sesi terapi pasangan. Bercuti bersama mungkin boleh membangkitkan kembali rasa cinta anda berdua.