Oleh: Mujahid Saddam
Gambar: INGIMAGE
Kadangkala kita sering tertanya-tanya kenapa hubungan cinta yang dibina sering terputus di tengah jalan. Sering ditinggalkan pasangan atas alasan yang tidak munasabah, atau si dia tiba-tiba bersikap dingin tanpa menyuarakan sebab? Sebelum menunding jari ke arah pasangan anda, ikuti dahulu tip-tip yang diberikan EH! agar hubungan yang dibina tidak diakhiri dengan perbalahan yang meleret sepanjang hayat.
1. MUHASABAH DIRI
Sememangnya menjadi lumrah untuk kita menyalahkan seseorang atas sesuatu kegagalan, begitu juga dalam perhubungan. Pabila ianya hancur di tengah jalan, kita cepat menunding jari ke arah pasangan tanpa membuat refleksi diri. Ya, mungkin terdapat kesalahan yang dilakukan pasangan anda, tetapi kita juga haruslah meneliti akan kesalahan yang dilakukan sendiri. Tidak mustahil ianya akan membawa jawapan kepada persimpangan yang dihadapi dalam perhubungan anda.
2. SALING BERKOMUNIKASI
Komunikasi merupakan elemen yang amat penting dalam sesuatu perhubungan. Saling berbicara mengenai perasaan atau ketidakpuasan yang terpendam adalah sesuatu yang menyihatkan. Ianya membantu anda untuk lebih mengenali serta memahami pasangan secara mendalam. Janganlah takut untuk berterus-terang kerana ianya hanya akan meninggalkan lurah di hati seterusnya mewujudkan perasaan negatif yang memakan diri.
3. BERTOLAK-ANSUR
Perhubungan yang utuh bukanlah berdasarkan kepada cinta sahaja, tetapi juga tanggungjawab serta sifat tolak-ansur kepada pasangan. Kehidupan berpasangan bermaksud penyatuan dua insan yang berlainan watak serta cara, jadi ianya adalah lazim untuk setiap pasangan bertekak kerana citarasa yang berbeza. Di sinilah sikap tolak-ansur memainkan peranan. Saling memberi dan menerima serta mengalah bukanlah bermaksud anda tiada pendirian, tetapi lebih kepada adat perhubungan yang harus diterap.