Memandangkan ramai di antara rakyat Malaysia kini terlalu mementingkan kerjaya, perkahwinan dan membina keluarga bukanlah menjadi keutamaan mereka. Sekiranya zaman dahulu, wanita banyak berkahwin seawal usia 16 tahun, kini umur 28 masih dikira terlalu awal untuk berkahwin. Untuk itu, kami ingin menyenaraikan kebaikan kahwin awal yang mungkin boleh membuatkan anda terdetik untuk berumah tangga di usia muda.
Gambar: wallpaperax.com
Tidak Membuang Masa
Tanya diri anda, dalam setahun, berapa ramai koleksi bekas kekasih yang anda ada? Ataupun berapa lama anda sudah bersama dengan kekasih sehingga kini? Berapa kerap dalam seminggu anda keluar tanpa arah tuju bersama dengan rakan anda yang masih bujang? Bayangkan sekiranya anda sudah berkahwin, pasti kehidupan anda jauh lebih teratur dan mungkin anda sudah mempunyai anak yang menjadikan perjalanan hidup anda lebih bermakna.
Mematangkan
Mesti ramai yang bersetuju apabila kami menyatakan perkahwinan boleh mematangkan seseorang. Ia memberikan anda tanggungjawab baru dan anda akan seboleh-bolehnya cuba untuk memenuhi komitmen baru anda. Menjadi lebih bertanggungjawab dan komitmen merupakan di antara faktor seseorang itu cepat matang.
Lebih Stabil
Ramai yang menunggu untuk menjadi lebih stabil dari segi kewangan sebelum mendirikan rumah tangga. Namun begitu, tidakkah anda fikir, perkahwinan itu sendiri yang membuatkan anda menjadi lebih stabil. Dengan kehadiran orang baru di dalam diri anda, pasti anda akan bekerja lebih keras untuk memastikan kehidupan anda sekeluarga menjadi jauh lebih baik daripada sebelumnya.
Faktor Kesuburan dan Anak
Sekiranya anda berkahwin selepas umur 30an, tahap kesuburan anda, tidak kira lelaki atau wanita, akan merosot. Bagi wanita, risiko untuk melahirkan anak setelah usianya meningkat menjadi semakin tinggi. Menurut kajian, faktor umur seseorang ibu turut mempengaruhi tahap kebijaksanaan dan kesempurnaan seseorang anak.
Anda Boleh Bersara Awal
Tidakkah anda terfikir sekiranya anda berkahwin pada awal umur 20-an dan sudah mula menimang cahaya mata, ketika anda berusia 40-an, anak anda sudah mula bekerja. Anda sudah boleh bersara awal. Hidup lebih bermakna pabila anda sempat menyaksikan anak anda berumah tangga dan menimang cucu atau mungkin cicit. Anda dan anak anda juga kelihatan seperti adik beradik! Bukankah itu sesuatu yang baik?