Oleh: Mujahid Saddam
Gambar: INGimage
Mungkin anda baru sahaja memutuskan hubungan cinta yang terjalin beberapa tahun lamanya, atau anda sememangnya berkeinginan mencari jodoh setelah sekian lama hidup bersendirian. Di zaman moden ini ianya bukanlah asing bagi kaum wanita untuk keluar bertemu lelaki, tetapi bagi anda yang berani untuk bertemu janji dengan lelaki yang tidak dikenali, EH! ada jawapannya, iaitu Tinder!
Tinder merupakan aplikasi terbaru yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat negara kita. Ibarat agen pencari jodoh, Tinder berfungsi melalui GPS yang membolehkan penggunanya untuk melihat profil pengguna lain di Facebook dalam jarak yang sama. Jika sukakan profil tersebut, swipe ke kanan untuk memberi tanda bahawa anda berminat. Sekiranya pengguna tersebut memberi respond dengan turut swipe ke kanan, anda berdua boleh memulakan perbualan.
Titik-tolak dari perbualan di Tinder seterusnya membuka peluang untuk bertemu janji di luar. Jika anda rasakan keserasian yang wujud di antara anda berdua, apa salahnya untuk mengenali si dia dengan lebih dekat lagi melalui pertemuan? Ianya mungkin kedengaran pelik bagi sesetengah orang untuk bertemu janji dengan mereka yang tidak pernah anda temui, tetapi melalui zaman teknlogi sekarang ianya bukanlah sesuatu yang janggal. Malahan kita sering mendengar cerita gerbang perkahwinan yang bermula melalui perkenalan di Facebook. Ianya ibarat kisah cinta zaman moden dimana teknologi serta aplikasi memainkan peranan penting.
Antara kelebihan bertemu janji melalui Tinder ialah ianya dapat memberikan pengalaman baru kepada anda. Hubungan cinta yang terjalin sekian lama kemudian terputus di tengah jalan mungkin membuatkan anda kecewa, tetapi dengan bertemu lelaki lain ianya tidak mustahil dapat memberi persepsi baru perhubungan kepada anda. Siapa tahu, mungkin anda akan menemui si dia yang lebih baik dari sebelumnya melalui Tinder?
Tetapi haruslah juga diingat untuk tidak terlalu taksub dengan sesuatu yang baru. Anda haruslah bijak membuat penilaian serta sentiasa beringat. Jika tidak pasti akan pilihan yang bakal dibuat, sentiasalah merujuk kepada sahabat atau ahli keluarga. Kadang-kala kita memerlukan pendapat berbeza yang tidak pernah terjangkau di kotak fikiran kita.
Bagi yang mengidamkan pengalaman baru dalam mencari cinta, cubalah aplikasi Tinder ini serta terokailah dunia baru teknologi moden yang penuh dengan kejutan.