Oleh: Alia Roslan
Gambar: adventureweightloss.com
Rezeki, jodoh dan ajal semuanya terletak di tangan Tuhan tetapi apakah yang akan terjadi jika orang yang anda paling dekat dan sayangi tiba-tiba ditimpa musibah penyakit kronik dan hanya menghitung hari untuk memejamkan mata untuk selamanya? Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul… Di sini EH! akan memberikan beberapa tip dan nasihat supaya anda lebih tenang dan bersedia untuk menghadapi situasi seperti ini.
1. Jangan cepat melatah
Anda sebagai anak, rakan, suami, isteri atau sesiapa sahaja yang terdekat dengan pesakit, jangan mudah untuk menunjukkan bahawa anda telah putus asa. Kesedihan anda hanya akan menambahkan kerungsingan kepada pesakit oleh itu sentiasa ceriakannya dan lemparkan kata-kata semangat sebanyak yang mungkin.
2. Sentiasa luangkan masa
Jika dulu anda hanya meluangkan beberapa masa bersama, kali ini lebihkan waktu anda bersamanya kerana walaupun anda tidak dapat untuk menyembuhkan atau mengurangkan kesakitan yang dialami tetapi dengan masa yang diluangkan sedikit sebanyak akan menyenangkan hatinya kerana tiada apa yang lebih bermakna dan berharga daripada masa yang kita beri.
3. Makbulkan segala permintaannya
Bagi sesetengah pesakit, mungkin mereka dapat merasakan bahawa masa untuk mereka amat terhad dan suntuk oleh itu ambil peluang ini untuk merealisasikan kesemua permintaanya (yang realistikl) dan jika apa yang dipinta itu susah ataupun tidak sesuai dilaksanakan maka berterus-teranglah dengannya.
4. Belajar untuk redha
Setiap penyakit yang menimpa seseorang itu mempunyai sebab yang tersendiri oleh itu jangan persalahkan sesiapa dalam hal ini. Redha dengan segala keputusan dan kejadian yang telah ditetapkan tetapi pada masa yang sama sentiasa usaha untuk sembuh.