Gambar: INGimage
Usai majlis perkahwinan yang memenatkan, kini tiba masa pasangan mempelai bertentang mata di dalam kamar. Aduh, berdebarnya hati, apatah lagi buat si gadis dan jejaka yang baru kali pertama!
Jangan main ‘terjah’, seks memerlukan ketenangan dan adab untuk melaksanakannya. Ketahui dan pelajari adab-adab ini agar keluarga lebih harmoni.
EH! kongsi cara hilangkan debaran malam pertama.
BERTENANG Untuk membezakan antara manusia dan haiwan adalah perilakunya. Kerana itu, pasangan pengantin perlu bertenang dalam melayari bahtera malam pertama. Diakui rasa nafsu yang membuak mendorong rasa tidak sabar dan gopoh. Sedarlah kalian berdua tidak pernah melakukannya, jadi mulakan dengan aktiviti ‘ringan’ dahulu bagi menaikkan nafsu secara berperingkat.
BERI MASA Tatkala anda melangkah masuk ke kamar dengan wangian dan semangat yang berkobar-kobar, si suami pula sudah enak dibuai mimpi. Ada wanita yang menganggap suami tidak suka padanya, walhal kepenatan melayan tetamu dan sesi fotografi outdoor. Tidak kurang juga ada suami yang terlalu rakus menggauli isteri sedangkan isteri itu sedang panik dan tidak bersedia. Jangan begitu. Persefahaman antara kalian perlu ada bagi menggelakkan rasa tidak puas hati. Jika pasangan belum bersedia, beri lah si dia masa yang diperlukannya.
TANAM NIAT YANG BAIK Berniat dan bersangka baik ketika melakukan hubungan bersama pasangan. Hubungan yang halal ini perlu disertakan dengan niat yang anda melakukannya demi memenuhi tuntutan fitrah manusia serta ingin memperoleh keturunan yang baik, sihat serta bijak. Selain itu, ia adalah untuk mengeratkan lagi kasih sayang antara pasangan.
SATU PERSATU Mulakan hubungan intim secara berperingkat, Beri ciuman hangat yang dimulakan dari dahi dan kemudian ke pipi, lalu perlahan-lahan ke bibirnya. Penting untuk pasangan berasa terangsang barulah kalian boleh hanyut dalam dunia kalian sendiri. Ini bagi melancarkan aktiviti anda berdua pada malam itu.
JIKA SAKIT, PERLAHANKAN LANGKAH Baik lelaki mahupun wanita, perlu tahu bila masanya pasangan berasa sakit atau menikmati aktiviti seks kalian. Lebih-lebih lagi buat si gadis dara. Ada juga lelaki terasa ngilu pada kemaluannya lalu terus mati nafsunya pada malam itu. Ini dinamakan ‘mati pucuk malam pertama’.
HORMAT DAN ADA RASA MALU Lakukan persetubuhan di dalam selimut dan bukan bertelanjang. Tutup lampu dan biarkan nyalaan lilin wangi penuh romantis. Jangan mengasari satu sama lain serta elakkan melakukan hubungan seks dengan cara yang pelik. Ramai antara kita terpengaruh dengan filem Barat di mana ada antara cara-cara itu yang mendatangkan masalah tidak kira dari segi agama, moral mahupun kesihatan.
MULAKAN DENGAN DOA Si suami perlu membaca doa dan berniat agar hubungan antara kalian direstui lalu benih yang terhasil itu bakal lahir sebagai insan yang berguna dan baik akhlaknya. Tetapi, tidak digalakkan si suami membaca doa secara lisan dan bibir yang terkumat-kamit kerana ini akan menimbulkan rasa kekok. Buat si suami, bijaklah mengawal antara nafsu dan tanggungjawabmu.
KETAHUI PERBEZAAN Perlu ambil tahu bahawa tahap rangsangan lelaki dan wanita adalah berbeza. Kebiasaannya, lelaki mudah terangsang walau hanya dengan pandangan mata. Kerana itu, tatkala terpandang bahagian tubuh si isteri yang selalunya tertutup, nafsu mereka mudah membukit tinggi. Wanita pula mengambil masa untuk merasainya. Kerana itu, bekerjasamalah dengan baik dan banyak membuat bacaan ilmiah mengenai cara memuaskan hati pasangan dalam hubungan kelamin.