Alam, rahsianya masih menjadi misteri tanda tanya, namun tetap sedia memberi pra-amaran dalam sebarang perkara yang bakal berlaku. Awan mendung, angin bertiup kencang adalah metafora amaran akan berlakunya hujan.
Begitu juga dengan isu perhubungan. Sedari langkah awal bermulanya asmara bagaikan sekuntum bunga. Berputik, mekar indah harum setaman dan kelopaknya mungkin berguguran.
Jatuh dan luruh satu per satu disapu remang angin senja. Demikianlah penamatnya jika sama ada anda atau si dia saling gagal memelihara percintaan.
Pun begitu, berakhir atau berubahnya musim asmara masih ada petandanya. EH! senaraikan enam pra-amaran yang mungkin membantu anda untuk mengubah keadaan atau sekurang-kurangnya bersedia menghadapi ‘malapetaka’ yang bakal melanda hubungan cinta anda.
1. Adakah anda berdua sering bergaduh disebabkan perkara remeh/kecil?
Pergaduhan sekali-sekala tiada masalah. Ia memang lumrah dan ada masanya perlu untuk mengeratkan lagi hubungan. Tetapi jika pergaduhan kecil itu sudah seperti tabiat acap kali bertemu, maka itu petanda bahaya. Menjadikan hal sekecil hama sebesar gajah bermakna ada masalah perhubungan yang kalian berdua takut untuk menghadapinya. Adakah ketakutan untuk berterus terang mengenai perpisahan yang membuatkan anda berdua masih bersama? Atau, adakah perkara lain yang anda berdua patut selesaikan serta-merta?
2. Adakah pasangan anda kelihatan seperti menjauhi/mengelak dari anda?
Perbuatan menjauhkan diri biasanya berlaku jika seseorang itu berasa tidak selesa dengan perkara atau subjek yang ingin dijauhinya. Jika pasangan anda ada ciri-ciri menjauhkan diri dari anda, anda patut risau sekarang. Contoh paling mudah adalah pasangan anda susah untuk dihubungi melalui telefon. Atau, jika diajak berkencan seperti selalu, ada saja alasan yang diberikan. Lebih parah, jika si dia menjawab panggilan telefon anda dengan cara acuh tidak acuh.
3. Adakah status anda rendah di senarai perhatiannya?
Ini bermaksud pasangan anda meletakkan orang lain selain anda lebih penting dari diri anda. Di dalam kalendar perancangannya, semua nama ada kecuali nama anda.Situasi sebegini adalah situasi yang patut anda elakkan dari awal lagi dengan strategi tertentu. Kalau sudah jadi begini, perpisahan awal mungkin penyelesaiannya. Ringkasnya, usahlah sandarkan harapan sejak awal perkenalan jika anda sendiri sudah maklum, anda bukanlah pasangan impiannya.
4. Adakah pasangan anda tidak lagi gembira melakukan aktiviti yang suatu ketika dulu sangat menyeronokkan bagi anda berdua?
Pasangan anda lebih gembira melakukan aktiviti tersebut seorang diri atau bersama orang lain selain dari anda. Ini kerana pasangan mungkin sudah tawar perasaannya kepada anda. Keinginan untuk bersama berdua juga tidak menggebu seperti dulu. Ini petanda buruk yang anda patut sedar sekarang.
5. Adakah si dia kurang berbual @ kurang mesra seperti selalu?
Jika pasangan masih lagi bertemu anda tetapi kurang berbual atau tidak semesra seperti selalu, itu antara pembayang bahawa hubungan kalian semakin kegeringan. Anda harus ingat, komunikasi adalah azimat paling hebat dalam memanjangkan usia perhubungan. Tanpanya, hubungan pantas berada di ambang kemusnahan.
6. Adakah pasangan anda kerap marah tanpa alasan?
Si dia mungkin tiada ikhtiar lain untuk menjauhkan diri daripada anda. Si dia juga tidak sanggup membuat keputusan memutuskan hubungannya dengan anda. Jalan pilihan terbaik ialah dengan memarahi anda dengan tujuan membangkitkan rasa kebencian di hati anda seterusnya mendorong anda untuk memutuskan hubungan dengannya.
Inilah antara enam metafora pra-luruh sesebuah hubungan yang sempat kami titipkan. Justeru, sebelum ‘kiamat kecil’ asmara melanda dan meragut sebahagian hidup anda, ada baiknya anda awasi petanda-petanda ini. Dan ingatlah, hidup ini penuh makna dan pastinya terlalu singkat untuk dibazirkan semata-mata kerana melayan kekecewaan.