Hanya kerana hal kecil, merah padam mukanya menahan marah. Barankah dia?
Hubungan percintaan tidak kira ketika bergelar kekasih mahupun sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata adalah medan untuk pasangan memahami satu sama lain. Apatah lagi apabila anda berdepan dengan pasangan yang baran walau hanya kerana hal remeh. Pasti rimas dan menyampah, bukan? Ikuti beberapa tip untuk anda menangani kerenah pasangan si panas baran.
1. Beri masa
Kebiasaannya, orang yang cepat marah mudah untuk kembali normal dalam masa yang singkat juga. Apabila mereka mula menunjukkan rasa tidak puas hati tentang sesuatu perkara yang dibincangkan, berhenti daripada membicarakan perihal itu dan biar dia melayan amarahnya tanpa anda bersuara. Ya, mungkin dia akan menghempas pintu keluar bilik kerana tidak tahan dengan perasaannya yang membuak-buak itu, tetapi dia pasti akan kembali ke dalam bilik dengan senyuman manja serta kata maaf kerana terkasar bahasa. Apa yang pasti, biar dia buang segala amarah yang ada. Masa akan menyembuhkan dan mengurangkan rasa itu.
2. Respons anda tidak dialukan
Hanya kerana kedai bakeri kegemarannya kehabisan stok kek yang diingini, dia marah-marah serta mengamuk tidak tentu hala. Jika anda cuba untuk memberi penjelasan mengapa hal itu berlaku, anda hanya mengundang parah dan meningkatkan lagi amarahnya. Jangan cuba untuk menenangkan kerana itu membuatkan mereka rasa lebih tercabar. Mereka menganggap pendapat mereka sahaja yang betul, walaupun jelas segala maklumat yang anda sampaikan adalah mengikut logik.
3. Elak terlibat dalam pertengkaran
Selalunya, mereka yang mempunyai sifat baran ini mampu untuk menukar perkara kecil menjadi isu besar. Secara perlahan-lahan, dia juga akan membawa anda terlibat sama dalam permasalahan yang dicipta sendiri. Sebagai contoh, dia menerima panggilan telefon daripada majikannya yang menyuruh dia membentangkan kertas kerja pada saat akhir, sepanjang hari dia akan diselubungi dengan rasa marah dan tidak selesa dek tidak puas hati dengan majikannya. Ini menyebabkan dia menyalahkan anda pula akibat kesusahan yang dihadapinya itu. Ingatkan dia bahawa anda sentiasa berada di sisi dia untuk memahami situasi itu, dan tidak menyalahkan diri anda yang jelas tiada kena mengena dalam perihal itu. Sebaik sahaja anda menyuarakan pendapat anda ini, jangan sesekali membalas apa juga yang dia cakapkan. Dia sendiri akan berasa bersalah dan mula menyedari apa yang betul.
4. Punyai kesabaran
Berhubungan dengan seseorang yang mempunyai masalah kawalan emosi memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Cuba sedaya mampu untuk bertindak sebaliknya kerana jika anda turut bersikap negatif sepertinya, hubungan kalian tidak akan kemana. Jadi tenang dan tidak melatah tidak bermakna memberi peluang kepala dipijak, tetapi ia memberi contoh yang baik kepada pasangan. Mungkin dia akan rasa malu dengan perbuatannya walhal anda tetap tenang di sisinya.
5. Jangan mengiyakan segala
Namun, tidak semua yang dia lakukan adalah betul. Jika amarahnya itu sampai ke tahap mengugut, mencederakan anda serta merosakkan harta benda, ia tidak harus berterusan begitu. Mereka perlu belajar untuk mengawal perbuatan serta kata-kata yang menyinggung perasaan. Had kesabaran anda juga ada hadnya. Biar mereka tahu yang anda juga ada perasaan.
6. Sokongan luar
Kadangkala, sifat mudah marah ini perlu dirawat menggunakan khidmat pakar. Ketahuilah bahawa sikap mudah marah boleh menyebabkan perkara yang lebih teruk seperti kurang waras dan tekanan jiwa. Biar mereka sedar yang anda ingin mereka mengubah sifat buruk anda ini untuk masa depan yang lebih baik.