Hari pertama tiba, dia dibawa ke tempat tinggalnya iaitu dorm khas untuk pelajar yang mengikuti pengajian di sana dan kawalan cukup ketat bagi orang luar memasuki kawasan ini. Berbahasa dalam bahasa Inggeris bukan satu penghalang buatnya kerana sebelum ini dia pernah dinobatkan sebagai juara bagi pertandingan berpidato dalam bahasa Inggeris.
Keesokan harinya adalah hari orientasi pertama Suraya di kampusnya dan bermulalah sesi memperkenalkan diri di hadapan lebih 500 pelajar dari setiap pelosok negara yang dijalankan dalam sebuah foyer cukup besar dan luas. Berderau hati Suraya untuk memulakan ayat pertamanya walhal ini sudah menjadi kebiasaan baginya sebelum ini, dirinya tiba-tiba sahaja gagap.
Mungkin disebabkan rata-rata wajah di hadapannya adalah wajah asing, tiada siapa yang kenali. Malah cerita-cerita yang didengarnya sebelum ini seperti wujud diskriminasi terhadap orang Asia sedikit sebanyak membuatkan dirinya gugup dan hilang keyakinan.
“Argh! Itu hanyalah cakap-cakap orang, dan Su yakin semua orang akan menerima Su dengan hati terbuka dan ikhlas,” getus hati Suraya.
Semuanya berjalan lancar dan dia memulakan sesi pembelajaran setelah seminggu berorientasi dan melalui program yang dijalankan oleh pihak kampus dia bertemu dengan seorang teman wanita yang berasal dari Australia, Amelia namanya. Ke mana sahaja mereka pasti berdua. Mereka juga berkongsi bilik asrama yang sama. Amelia sudah boleh dikira sebagai insan paling rapat dengan Suraya di London.
Pejam celik pejam celik sudah hampir satu tahun dia menuntut di United Kingdom. Rasa rindu pada kampung halaman tiba-tiba menyapa. Jika punya kelapangan dia tidak pernah melepaskan peluang untuk berhubung menerusi Skype bersama ibu tercinta. Itulah antara cara terbaik untuk dia melepaskan rasa rindu akan peluk dan cium bonda kesayangannya.
Tahun berganti, Suraya kini bergelar pelajar senior di kampusnya dan sebagai salah seorang ahli kelab pengurusan universiti dia bertanggungjawab untuk menyusun segala jadual untuk kemasukan penuntut baru bagi hari orientasi. Sedang asyik menulis nama-nama pelajar baru di buku pendaftaran, dia merasakan ada mata-mata nakal sedang asyik mengintai gerak-gerinya. Mulanya dia tidak mengendahkan renungan itu, namun lama kelamaan situasi itu merimaskan Suraya. Dia bangkit dan meninggalkan ruang meja putih dan bergerak masuk ke dalam dewan.