Secara tiba-tiba, ada seorang lelaki cukup tegap dan tinggi menyapa dirinya, “Hi senior, nice to meet you!” sapaan jejaka tampan bernama Daniel Winston dan ini membuatkan hati Suraya berdenyut dengan pantas ibarat pelari paling pantas dunia Usain Bolt mengejar kemenangan untuk mencipta rekod dunia!
Sebelum ini dia tidak pernah merasakan perasaan seperti itu dan mungkin ini hanyalah satu mainan sahaja. Daniel terus mengekori Suraya dan gerakan Daniel semakin pantas, tak henti-henti mencuba untuk mengajak Suraya berbual. Bagi Suraya dia anggap Daniel hanyalah lelaki hingusan kerana perbezaan umur mereka agak ketara. Minggu orientasi sudah tamat dan Suraya kembali kepada kehidupannya seperti biasa. Dia berasa lebih senang, punya masa terluang, tidaklah sarat dengan pelbagai aktiviti. Malah, dia juga tidak lagi diganggu Daniel.
Untuk melengkapkan projek semester terakhir, dia dikehendaki melawat ke sebuah kawasan terpencil di luar kota London untuk mengkaji dan mendalami cara hidup serta budaya masyarakat tempatan di sana. Dia bersama temannya Amelia bergerak dalam satu kumpulan. Dan dalam pada itu juga, pensyarah meminta beberapa orang pelajar junior untuk ikut serta kembara ini dengan tujuan sebagai pembantu kepada pelajar-pelajar senior.
“Kenapa tiba-tiba rasa tak selesa ya?” bisik hati Suraya.
Ternyata rasa tidak sedap itu rupanya tanda Daniel akan turut serta program. Ini membuatkan hati Suraya meronta. Sepanjang program terbabit Daniel sentiasa mencari peluang untuk mendekati Suraya sehinggakan sampai ke satu tahap Daniel memberanikan diri membawa Suraya ke tempat sedikit sunyi semata-mata untuk meluahkan isi hatinya.
Pemberian bunga berserta luahan hati Daniel membuatkan Suraya menjadi kaku dan berasa sukar untuk menidakkan bahawa terbit sedikit rasa suka kepada Daniel. Ternyata sikap tidak putus asa serta kesungguhan yang Daniel tunjukkan telah berjaya membuka hati Suraya. Dan sejak itu hubungan Suraya dan Daniel semakin rapat. Hubungan mereka cukup bahagia, dan Suraya sendiri tidak menyangka jejaka Inggeris menjadi lelaki pertama yang dicintainya. Memang sejak dulu lagi dia tidak pernah menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki kerana dia sentiasa mengutamakan pelajaran.