Kuasa cinta mula menguasai jiwa Suraya. Perasaan dia ibarat bunga mekar mewangi seluruh taman. Dia dan Daniel seperti belangkas, ke mana sahaja pergi pasti ditemani Daniel atau jika dia mempunyai kelas malam pasti jejaka itu menemaninya. Siapa sangka jejaka Inggeris boleh menjadi seorang yang sangat jujur dan setia dalam perhubungan! Suraya merahsiakan hubungannya daripada pengetahuan keluarga. Dia masih belum bersedia. Bimbang ibunya memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Cintanya terhadap Daniel semakin kuat. Dia sudah bercita-cita mahu bertemu keluarga Daniel di Belgium. Malah dia memasang angan-angan mahu menamatkan zaman bujangnya sebaik sahaja Daniel tamat pengajian. Tambah meyakinkan Suraya ialah Daniel dengan rela hati mengakui sanggup memeluk Islam demi memenuhi impian mereka untuk ke jinjang pelamin.
Dalam tidak sedar sudah tiga tahun Suraya menyulam cinta bersama Daniel, dia kini sudah tamat pengajian. Namun tidak bagi Daniel, dia masih punya baki dua semester untuk dilangsaikan. Biar sudah tamat pengajian Suraya masih tidak mahu pulang ke Malaysia. Dia tidak mahu berjauhan dengan Daniel. Suraya berhajat untuk meneruskan kehidupannya di sana dan ingin tinggal bersama Daniel sesudah dia tamat pengajian. Buat sementara, dia menyewa dan mencari kerja sementara menunggu tarikh majlis graduasinya. Ibu dan ahli keluarganya yang lain turut merancang mahu terbang ke United Kingdom untuk sama-sama meraikan majlis konvokesyen Suraya.
Suraya tidak menyangka, kesibukannya bekerja dan perpindahannya yang menetap jauh dari kampus sedikit sebanyak membataskan hubungannya dengan Daniel. Komunikasi serta interaksinya bersama Daniel semakin kurang. Daniel juga sudah kerap memberi alasan penat jika diajak berjumpa. Perubahan sikap Daniel ini membibitkan rasa tidak senang. Suraya mula berasa risau, bimbang jika jejaka kesayangannya itu berubah hati.