Musim luruh di New York seperti biasa cantiknya. Dedaun menguning jingga gugur memenuhi setiap sudut dan di kiri kanan ada saja pasangan asyik dilanda cinta. Tidak kurang ada juga pasangan baru berkahwin merakam momen indah mereka di sana. Ini tahun kedua Sarah menjadi penghuni tetap New York.
Peluang bekerja di sana dalam bidang pengiklanan menemukan satu kehidupan baru buatnya. Dan di sini jugalah dia bertemu Kamal, suaminya – bermula dengan kata hikmat “Orang Malaysia?” Sapaan Kamal dibalas senyum Sarah. Bermulalah cerita cinta pandang pertama, tidak diduga tidak juga diminta. Berteman kopi dan pastri mereka berbual lama tentang apa jua cerita yang terlintas di benak fikiran. Bagaikan Jesse dan Celine dalam satira Before Sunrise seperti ada satu daya yang menarik bikin chemistry mereka begitu kuat sekali.
Pertemuan mereka tidak terhenti di situ biarpun tidak saling bertukar nombor telefon mereka dipertemukan lagi. Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang pengiklanan Sarah tentu saja banyak berhubung dengan orang kreatif di New York. Kebetulan Kamal yang baru saja mendapat tawaran kerja sebagai jurugambar junior bersama salah satu studio ternama di sana, ketika itu tertulis untuknya bertemu Sarah sekali lagi atas alasan kerja.
Dan kali ini Sara pula menyapa “Hai orang Malaysia” dibalas senyum Kamal.
Sebetulnya dua tahun di sana Sarah tidak punya teman rapat yang ramai kecuali Jane teman serumahnya selain daripada rakan di tempat kerja. Masanya banyak sendiri, mungkin kerana tidak terlalu mahu dibuai syurga dunia dia memutuskan untuk membataskan pergaulannya. Jika ada masa dia akan pergi melihat pameran seni di Metropolitan Museum of Art atau Museum of Modern Art. Jika tidak Central Park menjadi tempatnya hanya sekadar untuk melihat ragamnya manusia.
Bagai dongeng impian kebanyakan gadis, di situ jugalah Sarah dilamar Kamal selepas tujuh bulan perkenalan mereka. “Are you sure?” tanya Sarah pada Kamal. “Yes more than that anyway.”
Mereka pulang ke Malaysia dan berkahwin atas persetujuan keluarga. Percaturan hidup yang dipilih indah dan berjalan seperti dirancang semuanya. Majlis sederhana sekadar keluarga dan teman rapat datang dengan restu dan doa agar bahagia mereka selamanya. Setelah selesai majlis kedua-dua belah pihak mereka kembali ke New York dan menjalani kehidupan sebagai suami isteri dan meneruskan karier masing-masing.
Namun itu cerita tujuh tahun dahulu. Bukan kerana sekarang mereka tidak bahagia namun persoalan lain mula timbul. Ceritanya begini, Sarah begitu menginginkan cahaya mata dan Kamal tidak punya masalah jika ada rezeki dia bersyukur jika tidak dia masih bahagia bersama Sarah. Tiada masalah dalam perhubungan seks mereka.
Tidak ada salah seorang daripada mereka yang dingin antara satu sama lain cumanya berbalik pada soal rezeki. Setiap kali selesai menghabiskan masa bersama, pregnancy test pack menjadi hala tuju Sarah. Kadang dia sukar menerima kenyataan yang dia masih belum mampu mengurniakan zuriat buat Kamal.
“Kita nikah bukan sebab anak semata tapi sebab saya sayang, saya cintakan awak” Kamal meyakinkan Sarah dan dibalas “Sebab saya tahu awak sayangkan sayalah, saya nak kurniakan awak seorang anak,” kenyataan Sarah buat Kamal terdiam dan akur.
Sarah membuat keputusan berjumpa doktor dan melakukan beberapa ujian seperti IVF (In Vitro Fertilization) juga Test Tube Baby. Kerana kesungguhannya untuk menimang cahaya mata apapun cara Sarah sanggup lakukan. Proses IVF ini memerlukan Sarah disuntik setiap hari dengan cecair hormon yang akan membantu proses penghamilannya namun usaha yang dilakukan masih menemukan jalan buntu.
Hampir berbulan-bulan sudah keluar masuk hospital, hormon yang diambil bagaikan tidak membantu proses tersebut malah merumitkan. Kesan daripada pengambilan hormon tersebut sudah dari awal diberitahu doktor bahawa ia akan menjadikan emosi Sarah tidak stabil dan mudah menjadi murung tidak mengira masa. Namun Sarah masih mahu meneruskannya demi seorang zuriat. Kamal ke hospital seperti biasa bertemu dengan doktor untuk mengambil bekalan hormon buat Sarah.
Dalam berbual panjang Kamal tentang emosi Sarah yang makin tidak stabil dan apa yang harus dilakukannya, tiba-tiba terlintas keluar dari mulut Dr. James tentang kesuburan Kamal.
“By right we have to do a check-up whether your sperm is active or not before we decide to proceed with the IVF,” Kamal diam lama sebelum berkata “Do I have to?” “Yes, this is a normal procedure, if not there is no point of Sarah taking the hormone.”
Kamal bukan tidak bersetuju cuma sebagai seorang yang menjalani rutin hidup sihat – bersenam setiap minggu, mengambil makanan berkhasiat dan menolak apa jua alkohol juga dadah, dia yakin masalah bukan berpunca darinya juga bukan dari Sarah cuma rezeki belum memihak buat mereka.
Hanya selepas dua hari pertemuan bersama Dr. James, Kamal membuat keputusan untuk melakukan ujian tersebut. Bohonglah jika dalam hatinya dia tidak takut jika punca sebenarnya adalah dirinya. Jika Kamal ada keraguan dalam hatinya, Shahrul abangnya yang juga menetap di New York menjadi teman bicaranya.
“Kalau aku yang mandul macam mana?” tanya Kamal. “You still a striker; it’s just that you’re not meant to achieve the goal.”
Shahrul faham keresahan adiknya itu dan menyambung “Jadi suami ni Kamal, full of fear. Takut jika kita mampu atau tidak jadi suami yang sempurna, takut jika kita tak mampu bagi nafkah, takut tak mampu bagi didikan. Ketakutan kau yang mana satu? Tak mampu bagi anak?” – ingat Kamal, Tuhan jadikan kita ni kalau kesempurnaan itu skalanya 10, pasti setiap daripada kita akan kurang paling tidak satu. Tapi dalam setiap kekurangan itu akan ada jalan lain menyempurnakannya.”
Sampul keputusan masih di tangannya dan dibuka dalam perjalanannya pulang ke rumah. Positif, sperma Kamal tidak aktif dan hiba hatinya sangat dalam. Rasa bersalahnya pada Sarah begitu kuat sekali, bingung bagaimana jika dia mampu berhadapan Sarah dan menceritakan perihal sebenar. Surat keputusan ujian disorok rapi dalam kereta. Dan jejak kaki ke rumah disambut mesra penuh kasih oleh Sarah.
“Sayang nanti suntikkan hormon, it’s time.” Seperti biasa Kamal melakukan rutin tersebut. Apa yang tidak biasa kali ini adalah perasaan penuh salahnya terhadap Sarah. Dalam hatinya tidak henti berbisik bahawa dia adalah manusia paling penakut untuk berhadapan realiti ini.
Hampir sebulan berlalu, Sarah seperti biasa kadang emosinya okey kadang murung bermenung. Setelah menghantar Kamal untuk tugasan luar selama tiga hari Sarah pulang ke rumah. Entah mengapa dia rimas sekali dengan keadaan kereta yang berselerak. Selalunya tidak pernah diendahkan keadaan kereta tersebut tapi kali ini dia kemas sehingga sampul keputusan Kamal dibuka dan dibaca.
Remuk hatinya, nafas tersekat dan air mata mula mengalir tanpa henti. Sarah membuat keputusan pulang ke Kuala Lumpur serta merta tanpa memberitahu Kamal. Resah Kamal tidak tertanggung masakan tidak, panggilan telefon tidak diangkat, pesan ringkas WhatsApp tidak berbalas. Shahrul mengambil Kamal dari lapangan terbang dan setiba di rumah, Sarah sudah tiada. Tidak ditinggalkan pesan sekalipun nota kecil. Sehingga Kamal melihat surat keputusan ujian spermanya di atas meja.
Pantas Kamal menghubungi kakak iparnya, Amelia – “Sarah ada kat KL, baliklah. Bincang apa yang patut.” Detak jantungnya makin laju berjalan dan resahnya untuk berhadapan realiti ini makin menebal. Setiba di rumah mentuanya, tiada siapa di sana hanya Sarah di laman belakang rumah duduk dan termenung jauh. Kehadiran Kamal dia sedar cuma tidak diendahkan saja.
“Saya minta maaf,” dalam penuh getar suara Kamal bergema.
“Kalau saya tak jumpa surat tu, agaknya bila awak nak beritahu saya semua ni? Saya selalu ingat saya yang gagal untuk kurniakan anak untuk kita tapi bukan. Pernah awak fikir apa saya rasa. Dalam banyak-banyak hal Kamal kenapa hal ini yang awak diamkan?”
Kamal bagai tidak mampu berkata apa. Dia membisu lama sebelum mulutnya terbuka – “Yang mandul saya Sarah. Yang penuh rasa bersalah saya juga. Kalau awak cakap pasal perasaan awak, awak tahu apa yang saya rasa? Saya tak mampu nak wujudkan impian awak untuk memiliki cahaya mata. Jadi macam mana saya nak berhadapan dan cakap semua ni? Saya bersalah sembunyikan hal ni, saya akui. Saya bagi awak masa dan saya akan tunggu.”
Sarah diam, matanya bergenang dan saat ini tiada apa kedua-dua mereka mampu lakukan. Masa menjadi percaturan buat ujian ini.
Kamal membuat keputusan pulang ke New York. Meninggalkan Sarah sendiri bukan kerana tiada lagi cinta tapi kerana mahu memberi ruang buatnya. Central Park di musim sejuk tidak sepenuh biasa, Kamal sendiri duduk dalam sejuk cuaca bersalju di tempat mana dia melamar Sarah dulu. Tidak jauh dari situ Sarah berdiri melihat suaminya sendiri. Kamal menoleh dan melihat kelibat Sarah tersenyum. Sarah membuat keputusan untuk pulang ke pangkuan Kamal, kerana dia tahu jika perkahwinan itu paksinya menerima pasangan biar baik atau kurangnya, kenyataan ini harus dia terima.