Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Rasa gementar kala menghadiri temu duga kerja boleh menyebabkan segala saraf pada bahagian tubuh menjadi tegang, biarpun sudah siap sedia dengan segala dokumen yang diperlukan namun sebenarnya sukar menidakkan rasa gemuruh.
EH! berkongsikan 5 tip sebagai persediaan anda menghadiri temu duga. Good luck!
1. Siap Lebih Awal
Tidak kira seawal mana sekalipun sesi temu duga dijalankan, pastikan anda memberikan lebih waktu kepada diri untuk bersiap dengan lebih sempurna, baik dari segi pakaian, rambut dan mungkin juga solekan wajah. Pastinya diri tidak mahu diganggu rasa kelam-kabut akibat kesuntukan masa untuk bersiap. Periksa keadaan cuaca sebelum anda bersiap lengkap dengan persalinan agar diri anda sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan cuaca sewaktu melangkah keluar.
2. Jangan Lupa Sarapan
Perut yang kosong tanpa sebarang makanan boleh mengganggu keadaan diri sewaktu temu duga.Pastikan anda mengambil sarapan pagi yang berkhasiat untuk berikan diri lebih tenaga dan kekal peka serta fokus pada temu duga yang dijalankan. Elak pengambilan makanan yang lebih gula kerana pastinya anda tidak mahu berasa mengantuk kala ditemu duga.
3. Rancang Perjalanan
Jangan tunggu sejam sebelum sesi temu duga untuk memulakan perjalanan dan baru memikirkan arah mana yang patut anda tuju. Ini kerana trafik yang sentiasa sesak dengan kenderaan di awal pagi boleh menyebabkan anda terlambat untuk ke sesi penting ini. Jadi, rancang perjalanan anda sehari sebelumnya demi memudah dan melancarkan sesi penting ini.
4. Periksa berita, laman web dan media sosial syarikat tersebut (jika ada)
Pastikan anda membuat semakan maklumat tentang calon majikan anda. Dengan cara ini, anda akan lebih bersedia menjawab segala jenis soalan yang akan ditanya kelak. Anda pastinya berasa lebih yakin jika anda benar-benar tahu informasi terkini tentang mereka.
5. Bersedia
Menunggu di ruang menunggu untuk dipanggil masuk ke bilik temuduga sudah pastinya membuatkan rasa gemuruh itu kembali memuncak.Jadi, pastikan diri anda sudah bersedia dengan sepenuhnya. Letakkan segala barangan seperti dokumen dengan rapi dan pastikan telefon bimbit anda ditutup atau sudah di set dalam mode ‘silent’ agar ia tidak mengganggu sesi temu duga itu nanti. Juga pastikan anda tidak terleka kala nama anda dipanggil nanti.