Gambar: shutterstock
Majlis perkahwinan biarpun hanya sehari dua tetapi persiapannya makan berhari-hari malah berbulan-bulan. Ada yang sudah memulakan persiapan menyambut hari bahagia setahun sebelum majlis berlangsung.
Biasanya mempelai mengambil cuti panjang, sekurang-kurangnya dua minggu. Itu belum ditambah dengan cuti berbulan madu. Ikuti langkah-langkah berikut supaya percutian hari bahagia tidak menyusahkan diri sendiri mahupun rakan sekerja di pejabat.
Rancang Kerja
Biasanya tarikh perkahwinan sudah dipilih enam bulan atau setahun lebih awal. Ini bermakna anda mempunyai jangka masa yang lama bagi menyusun perancangan bagi menyelesaikan kerja sebelum bercuti panjang. Utamakan pekerjaan yang memerlukan lebih perhatian pada peringkat awal dan hanya kerja-kerja ‘touch-up’ menjelanga majlis perkahwinan anda.
Libatkan Teman
Walaupun anda melakukan kerja seseorang sahaja, seeloknya maklumkan pada teman sekerja perkembangan kerja anda. Jika boleh terangkan A-Z tugasan yang sedang anda jalankan, siapakah klien (jika ada) atau apa sahaja yang berkaitan dengan tugasan anda supaya senang mereka membantu sepanjang anda bercuti. Sekurang-kurangnya ‘libatkannya’ tiga bulan sebelum anda bercuti.
Persediaan Awal
Seeloknya rancang persiapan majlis perkahwinan anda sejak gambaran jelas apa yang patut anda lakukan dari bulan ke bulan sebelum majlis berlangsung. Elak persiapan di saat-saat akhir kerana ia akan menyebabkan anda stres,sekali gus mengganggu tumpuan kerja. Biasanya debaran bakal pengantin semakin memuncak beberapa minggu sebelum, oleh kerana itu jangan tambahkan tekanan dengan bebanan persiapan majlis dan kerja di pejabat.
Fikir Sebelum Mengatakan Ya
Misalnya anda bekerja sebagai pengurus acara, dan acara yang dirancang bakal berlangsung beberapa hari sebelum atau selepas majlis perkahwinan anda. Jika situasi ini berlaku seharusnya anda memberi tanggungjawab ini kepada rakan sekerja. Anda masih boleh membantu tetapi bukanlah sebagai ‘penghulu’ kepada acara ini. Ya, mungkin anda boleh melaksanakannya tetapi anda tentunya tidak mahu mengambil risiko kerana banyak perkara yang tidak diduga boleh berlaku di saat-saat akhir. Oleh itu, fikir sebelum mengatakan ya kepada sesuatu tugasan.
Kerja Tetap Kerja
Jangan biarkan persiapan majlis perkahwinan mengganggu urusan kerja di pejabat. Ada yang curi-curi masa di pejabat melayari internet mencari ilham menguruskan majlis perkahwinan, sibuk berbual telefon mencari juruandam mahupun penggubah hantaran dan pelamin. Ada juga yang mengambil waktu rehat yang lama kerana berkunjung ke butik pengantin membuat perbandingan harga. Pabila di tempat kerja tumpuan harus 100 peratus pada kerja. Jadilah pekerja yang profesional , jangan campur aduk urusan kerja dan peribadi.