Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Usah terlalu bersalah untuk mengambil coklat dek takut jika naik berat badan. Coklat sebenarnya baik untuk kesihatan tubuh badan. Namun perlulah hadkan dari segi pengambilannya. Jom cuba lakukan sendiri kek coklat lava yang mudah dan menjimatkan ini.
Bahan-bahan:
100g dark chocolate (dicincang)
100g mentega
150g gula perang
3 biji telur
1/2 sudu teh ekstrak vanila
50g tepung gandum
Cara-cara:
- Panaskan ketuhar pada 200° C. Sapukan mentega di dalam empat bekas seramik bersaiz kecil dan letakkan di atas dulang.
- Campurkan coklat bar yang sudah dicincang bersama mentega ke dalam mangkuk tahan panas dan letakkan ia ke atas kuali yang diisi air panas. Kacau campuran coklat dan mentega sehingga menjadi lembut dan biarkan ia menyejuk selama 15 minit.
- Kemudian, campurkan gula perang, telur, ekstrak vanila dan akhir sekali tepung gandum. Kacau sehingga sebati dan tuangkan sama rata ke dalam empat bekas seramik kecil yang siap disapu dengan mentega.
- Bakar selama 10 hingga 12 minit atau sehingga bahagian tengah atas permukaan kek kelihatan pejal tetapi lembut. Secara perlahan-lahan, gunakan pisau untuk mengikis di bahagian tepi kek agar ianya lebih mudah untuk dikeluarkan dari bekas seramik tersebut. Terbalikkan di atas pinggan kosong dan ianya sedia untuk dihidang. Untuk lebih enak, hidangkan bersama ais-krim serta potongan strawberi.