Oleh: Razin Mohd
Resipi & Gambar : Razin Mohd
Bersempena bulan puasa ini pastinya ada sahaja makanan atau pemanis mulut yang diidam untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Tetapi untuk membelinya di kedai mahupun bazar Ramadan kadangkala menimbulkan 1001 kemusykilan, kadang-kadang harganya mahal, namun rasa dan kualitinya pula belum tentu terjamin.
Kali ini EH! mahu anda mencuba sendiri, resipi puding roti yang ringkas lagi menjimatkan, tidak juga mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Bagi anda yang tidak langsung pernah ke dapur anda pasti teruja dengan hasil air tangan anda sendiri.
Bahan-bahan :
4/5 Cawan Whipping Cream (190ml)
¾ Susu segar (178ml)
¼ Kismis (38g)
6-7 Keping roti (saya gunakan roti Benggali tanpa kulit)
4 Sudu besar gula kastor (56g)
2 Biji telur
½ Sudu teh ekstrak vanila
½ Sudu tek serbuk kayu manis
Langkah 1
Pada aras api sederhana, didihkan whipping cream, susu segar, gula dan ekstrak vanila Setelah selesai, ketepikan dan biarkan ia sedikit sejuk.
Langkah 2
Pukul 2 biji telur sehingga kembang (sehingga warna telur menjadi putih cerah)
Langkah 3
Tuangkan adunan yang didihkan tadi ke dalam telur yang sudah kembang dan kacau sebati.
Langkah 4
Sapukan roti dengan marjerin sebelum potong dalam bentuk yang lebih kecil, kemudian rendamkan ke dalam adunan tadi.
Langkah 5
Setelah selesai, ceduk adunan atau tuangkan ke dalam bekas untuk dibakar, sempurnakan adunan tersebut dengan kismis dan sedikit serbuk kayu manis bagi meningkatkan lagi aroma.
Langkah 6
Tuangkan air panas ke dalam dulang pembakar sebelum memasukkannya ke dalam ketuhar pada api 160c masak puding roti anda selama 35-45 minit. Setelah puding roti telah selesai dimasak, biarkan ia di luar selama 10 minit sebelum dijamu.
*Mahu lebih sedap? Dalam keadaan puding masih suam hidangkan bersama 1 sudu aiskrim vanila dan letakkannya di atas puding roti!