Gambar: INGimage
Sesekali rambut juga perlukan belaian manja seperti tubuh. Rambut perlukan pupur untuk kembalikan kelebatan dan sekaligus menyihatkan rambut bermula dari akar.
Rambut semestinya mudah rosak jika terdedah pada perkara yang merosakkannya seperti cahaya matahari, bahan kimia yang terkandung dalam syampu dan pelbagai lagi.
Jadi, EH! kongsikan resipi pupur rambut dari dapur rumah untuk anda cuba kala kelapangan.
Lidah buaya
Sapukan lendir lidah buaya terus pada kulit kepala dan seterusnya pada rambut. Perap rambut buat seketika dan cuci sehingga bersih. Selain membuat rambut cantik, ia juga boleh membantu untuk menyejukkan kulit kepala sekaligus menyihatkan rambut.
Air Teh
Selepas mencuci rambut, bilas rambut dengan air rendaman uncang teh. Ratakan di ke seluruh rambut dan kulit kepala sambil membuat urutan menggosok di serata rambut. Biarkan selama 10 minit dan bilas seperti biasa.
Santan kelapa
Sapukan pati santan yang telah disejukkan di atas permukaan rambut. Biarkan selama beberapa minit atau semalaman dan cuci sehingga bersih dengan air suam.
Kangkung
Rendamkan secekak kangkung di dalam air suam. Kemudian, ramas sehingga ianya mengeluarkan lendir. Lumur lendir kangkung di sekitar kepala dan rambut. Biarkan untuk seketika sebelum dicuci. Amalkan selama dua minggu untuk mendapatkan rambut lembut.
Bunga raya
Seperti kangkung, rendamkan kelopak bunga raya di dalam air suam lalu ramas untuk mengeluarkan lendirnya. Sapukan lendir dari kelopak bunga raya ini ke atas rambut. Biarkan semalaman dan bilas. Selain melicinkan struktur rambut, ia juga dipercayai mampu menyejukkan kulit kepala.