Sebuah restoran di kota New York membawa kelainan dengan menyediakan meja makan pelanggan di dalam sebuah kontena sampah dengan mesej tersendiri.
Percayalah di New York sukar untuk kita lihat mana-mana restoran yang menghidangkan makanan dengan sayur-sayuran yang hampir layu atau sudah rosak.
Tetapi di Salvage Supperclub NY, itu yang akan dihidangkan kepada anda. Bahkan kesemua hidangan kepada pelanggan akan mengambil tempat di dalam bekas kontena sampah yang juga dikenali sebagai Dumpster.
Pengasas restoran ini, Josh Treuhaft sebenarnya mempunyai mesej yang ingin disampaikan kepada pelanggan-pelanggannya. Ia membawa mesej kepada orang ramai tentang pembaziran makanan sedangkan negara yang berada dalam kesusahan mengalami kesukaran dalam sumber makanan dan bagaimana caranya untuk mengurangkan peningkatan masalah itu.
Kebanyakan sumber makanan mereka diambil dari bahan-bahan pasti akan dibuang jika di restoran lain. Dianggarkan setiap keluarga yang mempunyai empat orang ahli membuang hampir ribuan USD setiap tahun kerana sisa makanan yang tidak dihabiskan.
Disebabkan itu, pengasas restoran ini mendapat idea untuk melakukan projek ini. Salah satu resipi yang popular di restoran kontena sampah ini adalah Tart Krim Pisang yang dihasilkan dari biskut coklat chip yang Treuhaft selamatkan dari sebuah majlis rasmi serta pisang yang sudah bertukar rona gelap yang dibeli pada harga borong di sebuah kedai runcit tempatan.
Restoran ini ditempatkan di sebuah kawasan perumahan yang mana dibersihkan dan dibasmi dari sebarang penyakit serta kuman. Untuk tambah sedikit sentuhan elegan, pemilik restoran ini menambah pencahayaan serta menyempurnakan meja dengan lebih kemas.
Restoran ini bukan hanya untuk mewujudkan kesedaran ke atas pembaziran makanan, malah dalam masa yang sama mengingatkan orang ramai supaya bersyukur dengan setiap rezeki yang diberikan. Jadi, ada sesiapa yang berani mencuba?