Oleh: Farhana Fuad
Jika sebelum ini kita lihat pelbagai hotel-hotel pelik yang kian membangun masa kini. Bukan hanya hotel, malah restoran pelik juga makin digemari di serata dunia. Sudah pastinya ia merupakan satu tarikan ramai akan keunikannya yang menjadikannya istimewa.
Jika anda ingin mencuba kelainan bersantap di restoran luarbiasa, EH! kongsikan lokasi dan senarai restoran pelik di dunia yang boleh anda masukkan dalam senarai mesti pergi.
Dinner In The Sky, Montreal, Kanada
Gambar: www.newswire.ca
Pastikan anda masih mempunyai selera makan jika ingin mencuba santapan di restoran terapung ini. Ianya terletak di Kanada dengan konsep melibatkan kren yang mengangkat pelanggan. Para pelanggan diikat dengan penuh keselamatan di atas kerusi makan pada ketinggian 160 kaki di udara berserta meja makan. Bagi yang gayat mungkin sukar nak nikmati suasana mahupun menjamah makanan.
Redwoods Treehouse, Warkworth, New Zealand
Gambar: thecollection.ca.nz
Dibina pada tahun 2008, struktur binaannya seakan berbentuk buah yang terletak lebih daripada 32 kaki di atas pohon Redwood. Ianya terletak di bandar Warkworth, Utara Auckland. Pelanggan akan melalui laluan pejalan kaki bersudut tinggi antara pohon ke pohon yang lain. Kawasan yang lebih tarikan khas hanya untuk majlis dan acara rasmi yang boleh memuat kapasiti 30 orang tetamu sahaja pada satu masa.
Cat Cafe Nekorobi, Tokyo, Jepun
Gambar: www.otakute.fr
Jika anda menginginkan suasana yang luar biasa sambil bersantai meminum kopi, kafe kucing ini mungkin boleh jadi salah satu pilihan yang boleh buatkan anda santai dan terhibur dengan telatah kucing-kucing yang semestinya dijaga rapi dan baka yang unik. Nekorobi terletak di daerah hiburan Ikebukuro. Digalakkan untuk hadir pada waktu petang kerana pelanggan berpeluang untuk menyaksikan makan malam untuk kucing-kucing dalam bulatan disinari lampu lantai. Kafe kucing sebegini juga makin popular di Korea Selatan.
O.Noir, Toronto, Kanada
Gambar: jamiesarner.com
Hidangan disajikan dalam gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Ianya pertama kali dibuka di Kanada pada tahun 2006 yang berkonsepkan lain daripada yang lain di mana penglihatan adalah dilarang sama sekali di restoran tersebut dan deria lain menjadi deria utama. Bahkan, lampu suluh, telefon bimbit, jam tangan dan apa sahaja yang bercahaya adalah dilarang untuk dibawa masuk ke restoran ini. Pelanggan akan diberikan menu terlebih dahulu sebelum dipimpin masuk ke dalam ruang makan. Pelanggan akan dihidangkan makan malam yang diletakkan di atas meja mereka dan dihadkan untuk dua jam setiap orang.
Modern Toilet, Taipei City, Taiwan, China
Gambar: de.wikipedia.org
Idea pelik konsep restoran ini terlintas kala seorang daripada pemiliknya sedang membaca sambil duduk di atas mangkuk tandas. Pada mulanya restoran ini hanya menyajikan ais-krim di dalam bekas yang berbentuk mangkuk tandas bersaiz kecil, tetapi setelah ia menjadi sambutan ramai, restoran ini mula menyajikan hidangan berat yang lain.