Saharul Ridzwan dan pasangan pilihannya Deena Emir kini sah bergelar suami dan isteri. Kira-kira jam 9 pagi tadi, dengan sekali lafaz pasangan sama cocok sama padan ini dinikahkah oleh bapa Deena sendiri iaitu En.Mohamad Akif Emir bin Ahmad Teruki.
Majlis ijab dan kabul tersebut berlangsung secara tertutup di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.
Saharul turut melahirkan rasa gembira dan lega kerana segala perancangan untuk menamatkan zaman bujangnya berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, hari ini bermulalah satu fasa baru dalam hidup saya, dan saya sendiri tidak sabar untuk memikul tanggungjawab idan amanah ni dengan sebaik-baiknya,” kata Saharul yang baru bergelar suami hari ini.
Deena tampil menawan dalam persalinan dari Wrap Boutique House juga menyatakan yang dirinya tidak dapat membendung rasa syukur setelah selesainya majlis pernikahan mereka.
“Semoga limpah berkat dan rahmat, sentiasa memayungi perkahwinan kami,” ujar Deena mensyukuri segala yang telah dipermudahkan.
Saharul menghadiahkan Deena dengan lima dulang hantaran bersama mas kahwin berjumlah RM300 dan kemudiannya dibalas tujuh dulang. Namun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Majlis resepsi untuk Saharul dan Deena pula berlangsung hari ini di Dewan Sri Siantan, Putrajaya.
EH! ucapkan tahniah buat Saharul dan Deena. Semoga selamat melayari alam rumah tangga dan diberikan keberkatan serta kebahagiaan hidup sebagai suami isteri.
EH! kongsikan sekali gambar di sekitar majlis pernikahan Saharul Ridzwan dan Deena Emir.