Apa puncanya pabila bahagian intim tiba-tiba berlaku signal-signal yang tidak menyelesakan? Ketahui sebabnya di rencana ini.
Gambar : shutterstock
Kami bantu anda mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku ‘di bawah’ sana apabila anda mengalami signal-signal berikut.
Selepas bersin atau bersenam, anda terkencing sedikit di dalam seluar
Mungkin anda kerap mendengar masalah ini hanya dialami mereka yang baru melahirkan bayi secara normal kerana otot pelvis mereka terbuka luas. Tetapi, jika ini berlaku kepada anda yang masih belum berkahwin dan tidak mempunyai anak, ia adalah sesuatu yang tidak menyenangkan – malah memalukan!
Ini berlaku bukan kerana penyakit serius, tetapi kerana tekanan terhadap otot yang dialami akibat mengangkat barang yang berat. Otot yang mengawal pengeluaran air kencing menjadi kendur, justeru apabila kantung kencing anda penuh – dan ditambah dengan tekanan akibat bersin atau batuk – membuatkan ia hilang kawalan dan melepaskan urin.
Untuk menanganinya, lakukan senaman Kegel yang terbukti mampu membantu menguatkan kembali otot pelvis yang menyokong vagina, uterus dan usus. Caranya, ketatkan otot pelvis seperti mana anda cuba untuk menahan urin daripada mengalir keluar.
Kemut selama 10 saat dan bernafas dengan baik, kemudian rehatkan diri. Ulang sebanyak 10 kali dan lakukannya 3 kali sehari.
Vagina mengalami kekejangan yang menyakitkan. Ini menyukarkan ‘apa’ juga untuk masuk menerusinya.
Anda mengalami vaginismus, istilah yang berkaitan dengan kesukaran ketika anda ingin memasukkan sesuatu ke dalam vagina seperti kesukaran memasukkan tampon atau ketika mengadakan hubungan intim.
Kadang-kadang, ia berlaku kepada wanita yang baru aktif dalam hubungan seks. Bagi sesetengah kes, ia tiba-tiba berlaku kepada mereka yang sememangnya sudah bertahun menggunakan tampon atau melakukan seks.
Sebab berlaku: Ia kerana otot lantai pelvis tertutup atau berapatan secara automatik, seperti mata anda terpejam ketika ada objek yang menghampiri. Selain itu, ia juga boleh terjadi akibat perubahan emosi. Mungkin anda ada sejarah buruk yang berkaitan dengan hubungan intim, atau rasa takut dan tidak teruja. Bagi sesetengah wanita, ia mengakibatkan rasa sakit, panas yang memerah serta ketidakselesaan fizikal di sekitar pintu vagina.
Jangan bimbang, ia boleh dirawat. Rujuk pakar sakit puan yang mana kebarangkalian mereka akan membantu anda dengan senaman yang bersesuaian, atau pemberian ubat yang boleh merehatkan otot.
Baru-baru ini, anda mengamalkan pil perancang.
Namun ini menyebabkan darah haid keluar setiap hari tanpa ada tanda untuk berhenti Sedikit tompokan darah ketika permulaan anda mengamalkan pil perancang adalah perkara normal.
Itu menandakan badan anda sedang ‘belajar’ untuk menerima perubahan tahap hormon. Namun ia jadi bertentangan apabila darah yang keluar menjadi banyak dan tiada henti menyebabkan anda perlu menukar tuala wanita terlebih kerap sedari biasa!
Perlu untuk anda merujuk kepada doktor sakit puan anda untuk menukar cara perancang kelahiran yang lain. Pil perancang mengandungi estrogen yang menghalang penghasilan darah haid, tetapi jika ia tetap keluar selama berminggu memberi petanda tahap estrogen dalam badan anda lemah.
Cuba jenama pil perancang yang lain, dan jika masih tidak berjaya, rujuk doktor sakit puan anda untuk melakukan pemeriksaan berkaitan uterus atau serviks jika ada tumor. Jangan bimbang, ia adalah tumor yang tidak berbahaya dan boleh berlaku kepada wanita yang mengamalkan pil perancang mahupun tidak.