Oleh : Anis Hanini
Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 berlangsung pada hari ini 25 Ogos 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. Malah ia turut dihadiri oleh Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Bertemakan Sepadu Usaha: “Tiada Wanita Ketinggalan” atau Integrate Efforts: “No Women Left Behind”, program ini bertujuan untuk mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya agar dapat merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berilmu, berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni.
Sempena sambutan ini juga, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim baru-baru ini mengadakan kunjungan mesra ke Blu Inc Media dan bertemu dengan beberapa rakan media. Dia berkongsi dengan EH! mengenai isu yang dihadapi para wanita sekarang dan antaranya adalah untuk menyuntik semangat wanita agar kembali bekerja.
Kata Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, “Salah satu isu yang penting bagi kami adalah untuk menarik wanita Malaysia ke dunia pekerjaan sebanyak 59 peratus menjelang tahun 2020. Buat masa sekarang, sekurang-kurangnya 50.1 peratus wanita Malaysia ada dalam dunia pekerjaan.”
Wanita yang telah berkahwin kebanyakannya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja kerana ingin menguruskan keluarga dengan sendiri. Namun menghadapi masalah pabila ingin kembali bekerja, Menurut Dato’ Sri Rohani Abdul Karim juga, jabatannya kini bekerjasama dengan TalentCorp bagi usaha untuk menarik wanita kembali dalam karier.
“Kami ingin wanita-wanita di Malaysia mempunyai pilihan dan alternatif sama ada mereka ingin terus tinggal di rumah mahupun kembali bekerja. Kami ingin memberi sokongan buat mereka.”
Beberapa aktiviti turut dijalankan di sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 termasuk sesi wawancara bersama ahli panel untuk berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan masing-masing. Antara panel terlibat adalah YBhg. Datin Ira Ghani (sebagai moderator), YBhg. Tan Sri Zarinah Anwar, YBhg. Datuk Heng Seai Kie serta Neelofa / Lisa Surihani / Fazura.
Tambahan pula, beberapa pameran mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Agensi Kerajaan dan Swasta turut diadakan untuk memberi pengetahuan kepada masyrakat umum mengenai kejayaan dan pencapaian oleh pelbagai agensi.