Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Mandara Spa
Majoriti pengguna mahukan sesi spa yang unik serta tenang dari persekitaran yang sibuk atau hiruk pikuk kota. Jadi, mungkin Mandara Spa boleh anda masukkan dalam senarai spa yang patut anda cuba.
Melangkah sahaja masuk ke Mandara Spa yang berlokasi di Sunway Resort Hotel & Spa ia seakan tiba di kepulauan Indonesia yang menjadi tumpuan dunia iaitu Bali. Sepanjang laluan pejalan kaki di kawasan Sunway Resort Hotel & Spa menghala ke Mandara Spa, ia turut dilengkapi dengan payung ikonik Bali sekaligus menjadi tanda hala tuju ke spa tersebut.
Persekitaran Mandara Spa yang berkonsepkan dalam taman membuatkan sesi spa di sini cukup tenang dan santai. Ia pantas merehatkan minda dari sebarang bebanan kerja serta mengembalikan kecantikan wajah dan tubuh secara menyeluruh.
Keseluruhannya, Mandara Spa punya lapan cawangan di seluruh Malaysia termasuklah di The Pacific Sutera Hotel Kota Kinabalu, Hotel Renaissance Kuala Lumpur, Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Mulu Mariott Resort & Spa, Club Med Pantai Cherating Pahang, The Magellan Sutera Resort Sabah, dan Miri Mariott Resort & Spa di Sarawak.
Asalnya, Mandara Spa bermula di Bali Indonesia dan kerana itulah segala konsep dan servis yang ditawarkannya menerapkan spiritual Bali. Kini, Mandara Spa boleh dijejaki di banyak negara membangun antaranya di China, Hawaii, Japan, Dubai, dan banyak lagi.
Mandara Spa menawarkan pelbagai jenis khidmat termasuklah penjagaan kuku manicure serta pedicure, urutan tubuh, skrub tubuh dan penjagaan wajah. Khidmat spa yang dilakukan oleh pakar menjadikan sesi Balinese Massage (salah satu servis yang ditawarkan) pada saya sangat memuaskan.
Pelanggan turut dihidangkan dengan hidangan teh halia setibanya di spa unik ini serta sejurus selepas selesai sesi spa bersama pakar terapi. Meskipun perjalanan berjalan kaki ke Mandara Spa mengambil masa lebih kurang lima hingga tujuh minit, tetapi pengalaman mencuba sendiri sesi urutan tubuh yang diberikan cukup memuaskan dan berbaloi.
Sebelum memulakan sesi urutan, saya diminta untuk memilih dari empat jenis minyak yang masing-masingnya punya khasiat dalam memastikan kulit yang licin, mengurangkan tekanan stres, melembapkan kulit dan selainnya.
Bermula dari urutan kaki ke bahagian betis, seterusnya paha, bahagian belakang badan, lengan serta telapak tangan dan kepala. Belaian yang diberikan cukup membuatkan tubuh saya seakan terapung di awangan dek urutan yang dilakukan oleh pakar terapi dari Mandara Spa.
Selain dari produk organik yang dihasilkan oleh Mandara Spa, Elemis juga merupakan rangkaian produk kecantikan yang dibawa oleh spa Bali ini. Penghasilannya yang organik dan tanpa melakukan ujian pada haiwan menjadikan produk Elemis ini terhad dan hanya boleh didapati di Mandara Spa sahaja.
Tidak perlu bimbang lagi akan kepayahan untuk mencari dan membuat tempahan ke spa mahupun salun kerana kini dengan Bfab anda sudah boleh membuat tempahan terus ke Mandara Spa atau spa lain di Malaysia yang berdekatan anda dengan gajet pintar di hujung jari sahaja.
Topik Berkaitan : Bfab Permudah Urusan Tempahan ke Pusat Kecantikan
Kaedah tempahannya yang ringkas dan cepat memudahkan pengguna untuk membuat tempahan ke salun atau spa pilihan anda tanpa perlu membuang masa lagi dan ia hanya mengambil masa sebanyak dua minit sahaja.
Anda boleh layari laman web Mandara Spa untuk ketahui lebih maklumat lanjut serta servis yang ditawarkan di spa yang berkonsepkan Bali ini.