Gambar: INGimage
Tentu malu jika berhadapan situasi di mana kaki sendiri berbau dan tidak dijaga dengan rapi. Seimbangkan kecantikan wajah dengan bahagian badan yang lain. Barulah anda digelar wanita sempurna. Tidak perlu ke salun mahupun spa, anda boleh berjimat dengan melakukannya sendiri di rumah menggunakan bahan semula jadi yang mudah didapati ini.
EH! kongsikan cara untuk berikan belaian manja pada kaki di rumah.
1. Bersihkan sebarang pewarna kuku jika anda menggunakannya dengan kapas lembut dan pembersih warna kuku serta potong kemas kuku kaki anda.
2. Penuhkan bekas dengan ramuan istimewa spa kaki anda. Campurkan 1/4 cawan jus lemon, 1/8 sudu teh serbuk cengkih, tiga sudu besar minyak zaitun, 1/4 cawan susu dan 1/3 cawan air suam. Ramuan ini bertujuan untuk memberikan kelembapan kepada kulit kaki.
3. Rendam kaki di dalam air ramuan tersebut dan biarkan ia meresap ke dalam kulit selama 10 hingga 15 minit.
4. Setelah kulit menjadi lembut, gosok kaki menggunakan skrub buatan sendiri. Elakkan gosok permukaan kaki terlalu kuat, bimbang jika menimbulkan kerengsaan. Gosok mengikut putaran yang betul bagi melancarkan perjalanan darah dalam badan.
5. Bilas kaki menggunakan tuala kering dan bersih. Sudahi rawatan spa anda dengan menyapu losen atau krim khas untuk kaki yang diperkaya dengan bahan pelembap.