Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Shutterstock
Sesekali kulit wajah perlukan rawatan di spa untuk mengembalikan kulit wajah yang bersih dan sihat dari sebarang masalah kulit. Ia amatlah penting bagi menjamin kulit muka yang sentiasa muda dan sekaligus mengelakkan masalah penuaan.
Umum tahu yang sebenarnya rutin harian kecantikan kita ada yang tidak lengkap atau pun tidak memenuhi cara yang sepatutnya. Jadi, dengan mengambil sedikit peluang untuk melakukan rawatan wajah di spa mampu menyelesaikan masalah kulit wajah yang mungkin kita anggap biasa, tetapi hakikatnya kritikal.
Sama seperti rambut yang juga kita perlu lakukan penjagaan rapi dan sekali-sekala perlu menjalani rawatan di salun demi memulih dan mengembalikan rambut yang kuat dan sihat.
EH! ingin kongsikan bersama anda 5 spa rawatan wajah yang patut anda cuba untuk kembalikan keserian wajah.
Sothys Hydra Lift Synergy di Sothys
Saya kerap mengeluh dengan kulit wajah yang semakin kusam dan kering. Jadi, pilihan saya untuk menangani masalah ini adalah Sothys Hydra Lift Synergy daripada pusat rawatan kecantikan profesional Sothys. Melalui rawatan yang mengambil masa kira-kira dua jam ini, saya terlebih dahulu diberi informasi mengenai jenis kulit dan produk yang bakal digunakan semasa rawatan dijalankan. Bukan sahaja menyelesaikan masalah kulit kering tetapi turut bertindak sebagai menganjalkan atau meremajakan kulit wajah. Terdapat sembilan langkah penting untuk keseluruhan proses rawatan ini demi memastikan wajah kelihatan lembap nan berseri. Antaranya cucian wajah yang disusuli dengan lulur krim ekstrak bijirin. Kulit wajah kemudiannya diurut dengan pelembap Ampoule dan yang paling digemari, sapuan pupur muka secara berganda dengan Vitaly Mask dan Hydra Nourishing Mask – Penulis Fesyen, Julia Azman
Caudalie Vinoperfect Radiance Facial di Caudalie
Masalah utama kulit saya ialah kulit berminyak tambahan pula dengan kehadiran bintik-bintik hitam. Jadi tidak hairanlah jika kulit sentiasa nampak penat dan kusam tanpa solekan. Untuk mengembalikan keserian wajah, saya mencuba rawatan muka Caudalie Vinoperfect Radiance Facial. Rawatan 5 langkah ini bermula dengan mencuci dan menyegar wajah menggunakan Fleur de Vigne Instant Foaming Cleanser dan Gentle Cleansing Milk. Kemudian proses pengelupasan dan extraction untuk membuang bintik-bintik hitam. Disusuli pula dengan urutan muka menggunakan batu basalt dan sapuan pupur Enzymatic Peeling Mask pada Wajah. Rawatan diakhiri dengan sapuan Vinoperfect Radiance Serum, Polyphenol C15 Anti-Wrinkle Eye & Lip Cream dan Vinoperfect Day Cream. Selepas rawatan saya dapati kulit lebih lembut dan segar terutamanya pada bahagian hidung yang mana pakar terapi telah membersihkan bintik-bintik hitam dan putih. Liang-liang pori pada wajah juga lebih rapat. – Penulis Projek Khas, Anis Hanini
Aroma Soothing Treatment di Aster Spring
Berpeluang mendapatkan rawatan di AsterSpring, saya disyorkan untuk menjalani rawatan Aroma Soothing Treatment. Ia merupakan rawatan wajah lengkap untuk hidrat, dengan tambahan urutan pada bahagian garis rahang menggunakan mesin berteknologi baru dari Perancis, Endermologie. Rawatan tanpa pembedahan ini bertindak sebagai senaman tambahan buat kulit dan mampu mengurangkan proses penuaan kulit secara natural. Selain masalah kulit berminyak di zon T muka, saya turut mengalami masalah kulit kering menurut Elane Hin, Education Manager di AsterSpring. Rawatan kali ini dimulakan dengan dua proses pembersihan kulit sebelum proses extraction dilakukan. Seterusnya, urutan selama 15 minit dilakukan pada bahagian rahang menggunakan Endermologie yang merupakan inovasi pertama dicipta menggunakan sistem LPG yang terbukti secara saintifik akan menambah sintesis kulit semula jadi. Teknik urutan ini dilakukan pada bahagian yang bermasalah untuk menganjal dan menegangkan kulit. Akhir sekali, rawatan wajah disusuli dengan rawatan pupur dengan sapuan pupur muka untuk wajah lebih sempurna. – Penulis Fesyen, Muzammin Muzlan
Angelica Hydration Facial Treatment L’Occitane
Kulit wajah sering terdedah pada sinar UV boleh menyebabkan kulit bermasalah serta dehidrasi. Menerusi rawatan penjagaan wajah dari spa L’Occitane yang dinamakan Angelica Hydration membantu saya dalam mengatasi masalah kulit dehidrasi yang sekaligus boleh mengakibatkan tanda penuaan berlaku. Dengan dua ekstrak akar organik angelica dari Provence menjadikan ia sebagai solusi kepada masalah kulit saya yang mudah kering. Kulit wajah turut dilindungi dan tahap elastik kulit juga diperbaiki dengan adanya minyak organik essential angelica. Formula terbaru Hydra Vital Cream menyempurnakan lagi tahap hidrat kulit dengan lebih lama. – Penulis Web, Farhana Fuad
White Brightening New Elemis Facial di Mandara Spa
Saya diberi kesempatan untuk melalui proses rawatan wajah di Mandara Spa. Kulit wajah saya mengalami masalah kekeringan dan kusam akibat sering terdedah di bawah selaran cahaya matahari. Disebabkan itu, saya disyorkan untuk menjalani rawatan wajah White Brightening untuk mengembalikan seri kulit wajah secara semula jadi. Dengan penggunaan produk NEW ELEMIS untuk proses rawatan wajah ini mampu mengecapi penyelesaian masalah kulit kusam yang benar-benar luar biasa yang mana ia menghilangkan masalah tompok-tompok hitam dan jeragat sekaligus memberikan efek kulit yang lebih bercahaya. Pergerakan serta teknik urutan lembut pada lapisan kulit wajah terbukti menggalakkan proses pencerahan kulit dengan lebih aktif serta mencuci keluar melanin, di samping mengurangkan kulit kusam. Rawatan yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit ini ternyata membuatkan wajah saya kelihatan berseri dari biasa selepas melakukannya. – Penulis Web, Farhana Fuad