
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj selamat diijabkabulkan bersama pembaca berita saluran RTM iaitu Norashikin Abdul Rahman. Upacara pernikahan tersebut telah berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 31 Ogos yang lalu.
Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor iaitu Datuk Munir Bani menerusi satu kenyataan rasmi dari Istana Alam Shah. Menerusi kenyataan diraja tersebut, upacara itu disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Majlis pernikahan itu turut dihadiri Sahibus Samahah Timbalan Mufti Selangor, Dr. Haji Anhar bin Opir, Al Fadil Imam Paduka Tuan, Haji Mohd. Rasid Bin Mahful, Mantan Timbalan Mufti Selangor, Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Majid bin Omar, Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Yang Berbahagia Dato’ Salehuddin bin Saidin dan bapa serta semua ahli keluarga pengantin perempuan.
Sebelum ini, Sultan Selangor pernah berkahwin dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada tahun 1968 dan kemudiannya berpisah pada tahun 1986. Perkahwinan kedua Sultan Selangor adalah bersama Puan Nur Lisa Abdullah iaitu seorang warga Amerika Syarikat, namun berpisah pada tahun 1997.
Baginda Sultan Selangor telah pun dikurniakan dengan dua orang puteri dan seorang putera iaitu Tengku Zerafina, Tengku Zatashah dan Tengku Amir.
Anakanda kepada Sultan Selangor, Tengku Amir hari ini turut memuat naik sekeping gambar kolaj akan momen Tengku bersama ayahanda Sultan Selangor. Menerusi kapsyen yang ditulis Tengku Amir, baginda turut bergembira akan pernikahan ayahandanya.

Norashikin merupakan pembaca berita saluran tv RTM. Beliau berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu dari tiga orang adik beradik. Norashikin juga pernah dianugerahkan sebagai Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada tahun 2005.