Oleh : Farhana Fuad
Gambar : TPGimages
Setelah hampir tiga bulan berpacaran, Taylor Swift dan Tom Hiddleston mengambil keputusan untuk berpisah. Mungkin berita ini agak mengejutkan lebih-lebih lagi peminat penyanyi hebat Amerika Syarikat ini, namun ia sudah pun disahkan.
Penyanyi lagu Shake It Off ini menganggap yang hubungan romantis dirinya bersama Tom agak terlalu terbuka pada umum.
“Taylor merasakan yang Tom terlalu bersifat terbuka pada umum akan perhubungan mereka. Dan Taylor tidak gembira dengan perkara itu serta menganggap yang ia sangat terbuka,” kata sumber terdekat dengan Taylor kepada EOnline.
Pasangan ini mula dilihat bersama apabila mereka bersua dan menari bersama di acara Met Gala pada Mei lalu. Kemudian, Taylor dan Tom dilihat cukup intim dan mesra ketika bersantai di pantai Rhode Island. Bahkan orang awam yang berada di kawasan tersebut sempat merakam aksi intim mereka berciuman di tepi pantai berkenaan.
Setelah Taylor dan Tom mengesahkan perhubungan mereka bersama, pasangan ini dilaporkan sering kembara bersama. Tom terbang ke Nashville berjumpa dengan keluarga dan sahabat Taylor.
Gambar : GQ.com
Bahkan Taylor juga melakukan perkara yang sama dengan terbang ke United Kingdom untuk meluangkan masa bersama ibu bapa Tom. Dari sana mereka melawat Rome dan sekali lagi dilihat melakukan aksi PDA di Coliseum dan menikmati makan malam romantik di Itali.
Namun atas sebab Tom perlu bekerja untuk penggambaran filem Thor: Ragnarok, pasangan yang baru sahaja bersama ini merantau ke Australia. Dalam masa yang sama, Taylor melawat hospital kanak-kanak di sana dan Tom pula bekerja.
Pada bulan Julai yang lalu, Tom turut menghadiri parti Fourth of July yang dianjurkan Taylor di mana Tom meluangkan masa bersama sahabat Taylor yang lain serta memakai baju dengan grafik I Heart T.S.
Sebelum bersama Tom, Taylor pernah menjalinkan hubungan bersama Calvin Harris selama setahun lebih. Dua minggu selepas memutuskan perhubungan mereka, Taylor secara umum bercinta dengan Tom.
Mungkin kini giliran Tom pula yang merasai duka sebagaimana Calvin lalui sebelum ini selepas putus cinta dengan penyanyi Blank Space ini.