Gambar: INGimage
Jangan biarkan nafsu menguasai pabila mendaftar sebagai pemilik kad kredit. Jika difikirkan yang ‘indah-indah’ dan senangnya membeli-belah memang mudah anda menandatangan borang persetujuan. Muhasabah diri sendiri, adakah anda mampu mendisiplinkan diri membuat pembayaran tepat pada masanya. Jika masih ragu dan keliru, EH! kongsikan apa yang perlu dipertimbangkan dan tip berguna sebagai pemegang kad kredit.
Kadar ‘bunga’
Ini adalah perkara pokok yang perlu diberikan perhatian. Jika anda tidak membayar bayaran penuh setiap bulan, utamakan pembayaran bunga daripada tawaran hadiah atau bonus. Bayaran bunga jauh lebih penting daripada sebarang bonus. Begitu juga sebaliknya, pastikan anda mendapat bonus atau mata ganjaran sekiranya anda membuat bayaran penuh setiap bulan. Oh ya, pastikan kiraan dalam penyata setiap bulan tidak mempunyai bunga atau interest sekiranya anda membuat bayaran penuh setiap bulan.
Bayar Melebihi Jumlah Minima
Sekiranya anda tidak mampu membuat bayaran penuh setiap bulan, pastikan pembayaran anda melebihi jumlah minimum yang ditetapkan. Seandainya anda hanya membayar menurut jumlah minima, maka tempoh pembayaran akan lebih panjang.
Elakkan denda
Buat pembayaran tepat pada masanya untuk mengelakkan daripada didenda atau dikenakan penalti. Denda biasanya dikenakan sekiranya anda membuat pembayaran lewat mahupun melebihi jumlah kredit yang dibenarkan. Cara mudah untuk mengelak kelewatan pembayaran ialah dengan menggunakan debit secara terus dan membuat kira-kira sendiri supaya anda tidak berbelanja melebihi jumlah yang ditetapkan.
Caj Luar Negara
Sewaktu membuat pemilihan kad kredit, pastikan juga syarikat tersebut tidak mengenakan sebarang caj tambahan seandainya anda menggunakan kad kredit di luar negara. Biasanya ada yang mengenakan caj antara 2.75 peratus hingga tiga peratus. Tetapi ada juga yang tidak menggunakan sebarang caj.
Elak Meminta Wang Tunai
Elak menggunakan kad kredit untuk mendapatkan wang tunai (cash advances). Ya, ia cara mudah untuk mendapatkan wang tetapi jumlah wang yang perlu dibayar semula tidak berbaloi kerana terdapat bunga yang dikenakan.
Tidak Perlu Setia
Kebanyakan syarikat yang menawarkan kad kredit tidak menawarkan loyalty program. Tawaran hebat biasanya diberikan kepada pengguna baru sahaja demi menarik minat mereka.