Oleh : Farhana Fuad
Gambar : shutterstock
Sering kali kita dengar keluhan wanita yang suka bersolek takut untuk bermain rona merah jambu pada wajah (selain gincu). Adanya tidak tahu cara sebenar untuk mengoles item solekan berona pink fuchsia ini pada bibir.
Ramai menganggap yang rona merah jambu boleh membuat wajah tampak terlalu galak dan tidak kena dengan ton kulit wanita Asia seperti orang Melayu khususnya yang majoritinya bertona kuning langsat atau coklat.
Usah gentar lagi. EH! ada tip bermain solekan merah jambu untuk anda praktikkan.
Mata
Dengan sekilas layangan pembayang mata berona merah jambu lembut di atas kelopak mata boleh membuatkan kulit tampak lebih sihat dan segar. Untuk menyempurnakan solekan mata tersebut, gariskan pensel penggaris mata berona gelap di garisan bulu mata. Penggaris mata tersebut membuatkan solekan anda tampak lebih feminin. Adunan pembayang mata warna coklat akan sedikit sebanyak meneutralkan sapuan warna merah jambu tadi.
Pipi
Setiap orang punya sedikit ton kemerahan pada tulang pipi. Jadi, dengan melayangkan sedikit pemerah pipi berona merah jambu mampu membuatkan wajah kelihatan lebih natural dari menggunakan ton-ton bumi. Erti kata lain, lebih cerah kulit anda, lebih cerah rona solekan yang anda patut cuba. Tetapi dengan pembayang pipi, cerah bagaimana sekalipun rona fuchsia boleh dikenakan tidak kira perbezaan ton tulang pipi. Untuk efek lebih natural, calitkan pemerah pipi dalam tekstur krim.
Bibir
Percayalah rona merah jambu jika dicalitkan pada bibir boleh membuatkan wajah tampak lebih segar. Jika ia sesuai dengan personaliti, rona terang (bold) seperti gincu merah jambu hot dan matte yang boleh membuatkan solekan lebih menawan. Tambah pula dengan layangan maskara, sedikit sentuhan pembayang pipi dan item solekan yang lain.