Oleh : Farhana Fuad
Gambar: Shutterstock
Pabila berpergian, tidak semua hotel atau tempat penginapan menyediakan seterika atau pun servis menggosok pakaian. Boleh kata ia satu masalah yang sering dihadapi oleh mereka yang kerap merantau.
EH! kongsikan cara untuk menghilangkan kedutan pada pakaian tanpa perlukan seterika. Mungkin boleh cuba lepas ini.
Guna pengering rambut
Jangan panik bila kamar hotel tidak menyediakan seterika untuk menggosok pakaian. Ada cara lain yang boleh anda lakukan untuk hilangkan kedutan pada pakaian dengan menggunakan pengering rambut. Lakukannya dibahagian luar dan dalam pakaian. Kedut pakaian akan hilang serta-merta.
Proses pengewapan dalam kamar mandi
Trik ini agak berguna juga kala terbang ke destinasi percutian. Gantung pakaian tersebut di dalam kamar mandi ketika anda ingin mandi dengan air suam. Pastikan pintu serta tingkap bilik mandi telah pun ditutup rapat. Kedut pada pakaian akan hilang automatik. Sebaiknya gantung pakaian tersebut sehampir yang mungkin dengan wap panas dalam kamar mandi.
Guna bahagian belakang periuk panas
Jerang air di dalam periuk logam bersaiz sederhana. Pabila air tersebut menggelegak, buang air tersebut. Bahagian bawah periuk tersebut sudah pastinya cukup panas untuk menggosok kedutan pada pakaian anda. (Pastikan bahagian bawah periuk dalam keadaaan bersih agar tidak mengotorkan pakaian tersebut)
Guna pelurus rambut
Jika anda mempunyai pelurus rambut, percayalah yang ia juga membantu untuk menghilangkan kedutan pada pakaian. Cuma pastikan ia cukup panas dan tidak terlalu panas supaya tidak pula merosakkan pakaian anda.
Teknik tuala basah
Di atas permukaan rata, letakkan tuala lembap ke atas pakaian yang berkedut. Tekan tuala tersebut untuk melembutkan bahagian yang berkedut. Kemudian, sidai pakaian tersebut dan biarkan ia mengering dengan sendirinya. Lihatlah hasilnya!