Gambar: weddinglooksideas.com
Kahwin sekali seumur hidup. Jika berkahwin sekali lagi pun kemeriahan majlisnya tidak akan sama dengan yang pertama. Maka, ramai yang sanggup bergolok-gadai demi sebuah majlis perkahwinan yang gemilang. Prinsip begitu usah diturutkan kelak diri sendiri jua menyesal. Jangan usai majlis, diri pening memikirkan hutang. Sediakan checklist dan pastikan perjalanan menuju hari bahagia utuh pada arah yang satu.
Jumlah Undangan
Tetapkan berapa jumlah yang diundang. Jangan hanya membuat anggaran semata-mata. Sebaiknya jumlah tetamu dikira supaya tidak berlaku pembaziran lebih-lebih lagi jika anda menggunakan khidmat katering. Jika mengadakan majlis di hotel, pastikan anda tahu siapa yang bakal diundang. Pastikan siapa yang akan hadir dan siapa yang tidak. Itulah faedahnya jika tetamu membuat RSVP.
Hantaran
Jumlah dulang hantaran juga mempengaruhi saku anda. Utamakan yang asas sahaja. Tidak perlu berlebih-lebih. Jika anda atau ahli keluarga terdekat mempunyai kepakaran menghias dulang hantaran, apa kata anda buat sendiri. Jadikan internet mahupun majalah sebagai rujukan. Kerja menggubah hantaran hari ini lebih mudah kerana semua orang sukakan gaya ringkas, cukup sekadar dilipat kemas dan hias dengan bunga segar.
Elak Persiapan Saat Akhir
Untuk majlis sepenting ini elak persiapan di saat akhir. Misalnya, elak menempah pelamin, pakaian mahupun buah tangan buat tetamu di saat akhir. Biasanya mak andam atau peniaga akan mengenakan caj yang tinggi dengan alasan anda membuat tempahan di saat akhir, dan mereka terpaksa bekerja lebih masa untuk memenuhi tempahan. Perancangan awal memberi anda lebih banyak masa untuk membuat survey dan perbandingan harga. Oleh itu, elak perancangan atau persiapan di saat akhir.
Usah Ubah Agenda
Jangan mengubah agenda yang sudah dirancang pada saat akhir. Misalnya, anda terpaksa mengadakan majlis berinai besar pada malam sehari sebelum bersanding kerana memenuhi permintaan saudara-mara. Alasan mereka kahwin sekali seumur hidup. Jika kocek anda tidak mengizinkan mengapa hendak diturutkan permintaan orang lain. Utamakan yang wajib iaitu majlis pernikahan.
Ringkaskan Majlis
Jika anda ingin berjimat, apa kata anda satukan sahaja majlis. Misalnya, anda boleh mengadakan majlis pernikahan dan persandingan pada hari yang sama. Selain berjimat, ia juga memudahkan saudara-mara atau rakan terdekat hadir ke majlis. Tidak perlu berulang-alik dua tiga kali untuk memeriahkan majlis anda.