Oleh: Farhana Fuad
Gambar: TPG
Anda mencari ilham pemakaian helaian bercorak? Menyuai padan helaian yang bercorak dan tekstur yang berlainan adalah satu perkara yang menyeronokkan di dalam dunia fesyen sebenarnya tetapi ianya sedikit berisiko jika kita tersalah menyuai padankannya.
EH! kongsikan cara untuk suai padan helaian bercorak dalam berfesyen jika anda sudah bersedia untuk memperagakannya.
Gunakan hanya satu rona yang seangkatan
Untuk berfesyen dengan helaian bercorak, anda harus memastikan yang ianya berona yang sama atau berkaitan. Kontra dalam berfesyen adalah sesuatu yang unik tetapi pastikan ianya kekal sebati bersama apabila disuai padan, jadi ia tidak akan tampak janggal di mata khalayak ramai.
Seimbangkan dengan rona solid
Apabila anda ingin mengenakan helaian yang bercorak, ia penting untuk tidak menggunakan kesemua helaian dengan corak yang berbeza. Berikan sedikit helaian bercorak solid atau rona plain.Terlalu banyak corak dalam satu outfit sebenarnya tampak lebih sarat dan melebih-lebih.
Pilih corak yang tidak bercanggah antara satu sama lain
Sebagai contoh, corak bungaan dan kotak-kotak amat tidak suai untuk dipadankan bersama dalam satu persalinan. Cuba gunakan corak yang kecil dan satu lagi helaian dengan corak yang lebih understated agar ia serasi antara satu sama lain. Ia sebenarnya idea yang baik dalam menggayakan helaian dengan dua corak berbeza dalam fesyen tetapi asalkan ia masih dalam rona keluarga yang sama.
Pilih helaian bercorak lembut atau halus
Kadang kala memilih corak yang lembut dalam fesyen adalah idea yang bagus. Skarf rambut bercorak flora berganding dengan baju solid dan skirt dengan corak polka dot bersaiz kecil padanan yang sangat baik dalam berfesyen dengan helaian bercorak.