Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Secara amnya kita tahu bahawa berdengkur terjadi atas faktor-faktor seperti badan terlalu penat, masalah rongga pernafasan dan pelbagai lagi. Ianya boleh mengganggu waktu tidur pasangan dan adanya sehingga menjadi punca pergaduhan antara satu sama lain hanya disebabkan masalah dengkuran yang berlaku pada suami atau mungkin isteri.
Berdengkur tidak hanya tergantung pada pengambilan ubat-ubatan untuk mengatasinya, malah gaya hidup dan cara semulajadi juga perlu diubah untuk menyelesaikan masalah tidur ini.
Jadi, EH! kongsikan kepada anda remedi untuk menghilangkan masalah berdengkur.
Ubah posisi tidur
Cuba tidur pada posisi mengiring. Elak tidur dalam keadaan berbaring kerana ketika posisi baring, lidah, dagu serta lebihan tisu lemak di bawah dagu dalam keadaan relaks dan ia menyebabkan laluan pernafasan menjadi terhad. Jadi, dengan tidur pada posisi mengiring boleh mengelakkan dari perkara ini berlaku.
Kurangkan berat badan
Amalkan diet serta senaman agar berat tidak berlebihan. Walaupun berat tubuh hanya meningkat sebanyak beberapa kilogram lebih dari biasa, ianya sudah cukup untuk berlakunya masalah dengkuran sewaktu tidur. Tisu lemak di bahagian leher boleh mengakibatkan ruang pernafasan menjadi terhad dan sekaligus mengehadkan keluar masuk udara pada tubuh.
Elak pengambilan alkohol
Alkohol menyebabkan otot berehat dengan sepenuhnya lebih dari tidur malam yang normal. Ianya termasuklah membuatkan bahagian tengkuk juga turut berehat sepenuhnya lebih dari keadaan tidur biasa, yang mana ia menyebabkan dengkur terjadi.
Praktikkan tidur yang sempurna
Habit suka tidur lambat dan tidur yang tidak mencukupi boleh dikatakan sama impaknya seperti mengambil alkohol. Kerja berlebih masa tanpa tidur yang mencukupi membuatkan otot akan berehat lebih dari biasa tatkala tidur dan sekaligus mengakibatkan dengkuran berlaku.
Pastikan saluran hidung tiada sebarang sekatan
Jika saluran hidung tersumbat atau mempunyai sebarang sekatan pada liang pernafasan, ianya akan menyebabkan anda bernafas melalui mulut. Mandian panas sebelum tidur membantu untuk membuka saluran hidung. Juga simpan sebotol air larutan garam di dalam kamar mandi. Bilas rongga hidung dengan air larutan garam tersebut ketika mandi untuk membantu membuka laluan pada bahagian dalam hidung.
Tukar bantal
Alergen yang berlegar di dalam kamar tidur serta di atas bantal boleh menyumbang kepada dengkur. Bilakah kali terakhir anda membersihkan habuk yang tersangkut pada bahagian atas kipas bilik anda? Atau mungkin bilakah kali terakhir anda mengganti bantal yang baru?