Oleh : Farhana Fuad
Usah ambil ringan dengan penggunaan krim tabir suria pada kulit kerana hakikatnya ia sangat penting buat kulit wajah serta tubuh badan setiap hari. Krim tabir suria dengan SPF mampu mengurangkan risiko dari penyakit kulit seterusnya kanser kulit.
Sebelum terlambat, lebih baik bertindak awal dan amalkan penggunaan krim tabir suria setiap kali anda ingin keluar dari rumah dan terdedah pada cahaya matahari.
EH! kongsi tip dan trik pemakaian krim tabir suria.
1. Semua krim tabir suria lebih dari SPF50 punya perlindungan yang sama buat kulit.
Krim tabir suria yang mengandungi SPF50 melindungi kulit sebanyak 98% dari sinar UV manakala SPF100 akan menghalang sebanyak 99%. Perbezaannya hanya sebanyak 1%. Jadi apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menyapu rata krim tabir suria ini pada seluruh bahagian kulit dan menambah semula dengan kerap.
2. Item solekan dan pelembap yang berfungsi sebagai pelindung cahaya matahari tidak memadai.
Melainkan jika item solekan atau pelembap yang anda gunakan punya spektrum perlindungan tabir suria yang mencukupi serta pemakaian semula krim dengan kerap. Ia cukup jika anda hanya berjalan keluar dari pejabat ke kereta atau pun ke kedai buat seketika. Tetapi jika anda sememangnya terdedah pada aktiviti luar berpanjangan, adalah seeloknya anda menggunakan krim tabir suria yang mempunyai spektrum mencukupi untuk melindungi kulit anda.
3. Sapu krim tabir suria setiap 2 jam.
Sumber aktif yang terkandung dalam krim tabir suria boleh berkurang dari segi kadar efektifnya kala terdedah pada sinaran UV. Untuk kekal terlindung dengan SPF, anda harus sentiasa menyapu semula krim tabir suria setiap dua jam, lebih kerap jika tubuh berpeluh atau berenang.
4. Menggunakan krim tabir suria tidak cukup tanpa perlindungan ekstra seperti cermin mata hitam atau topi.
Krim tabir suria tidaklah 100%. Sememangnya ramai yang menurut segala cara-cara untuk menggunakannya. Tetapi adalah lebih baik dan berkesan jika anda menambah perlindungan pada kulit dengan memakai topi, cermin mata hitam, pakaian SPF, atau mungkin berteduh di tempat yang terhad dengan cahaya matahari.
5. Jangan pakai krim tabir suria ketika berada di bawah cahaya matahari.
Krim tabir suria perlulah dipakai satu jam atau setengah jam sebelum anda keluar di bawah sinaran terik mentari. Ini untuk memberikan sedikit masa buat kulit untuk menyerapnya.