Oleh : Farhana Fuad
Siapa yang tidak kenal dengan pengasas stor online FashionValet yang menjadi pilihan ramai iaitu Vivy Yusof. Nama juga kini sering menjadi sebutan ramai di kalangan selebriti.
Buat julung kalinya, EH! tampil berkolaborasi bersama FashionValet untuk koleksi fesyen yang turut dihasilkan bersama tiga orang selebriti ternama iaitu Nabila Huda, Lisa Surihani dan Scha Alyahya.
Kala ditemui di sesi penggambaran muka depan EH! edisi Ogos, sempat saya mewawancara wanita berkerjaya yang juga seorang isteri dan ibu ini. Tidak dinafikan yang Vivy sangat teruja akan kolaborasi bersama EH!
“Ini adalah kali pertama FashionValet bekerjasama dengan EH! I’m really really excited kerana projek ini bukan hanya kolaborasi kecil. Tetapi ia adalah kolaborasi yang besar. Ia bersama tiga orang selebriti yang cukup terkenal iaitu Scha, Nabila dan Lisa. Dan mereka semua adalah orang-orang yang saya respek dan admire dalam industri,” ujar Vivy.
Tambahnya lagi, “Saya pun turut sama dalam perbincangan akan selebriti mana yang ingin kami pilih. Jadi saya memang sangat gembira bagaimana kolaborasi ini berlaku.”
Isteri kepada Fadza Anuar yang juga merupakan pengasas FashionValet ini juga menyatakan yang stor online yang diusahakan dirinya ini banyak kali bekerjasama dengan beberapa orang selebriti serta pereka fesyen sebelum ini. Baginya, jika kolaborasi ini adalah satu yang sukses, bukan sahaja mereka ingin perbanyakkan lagi kolaborasi, malah dirinya mendepa tangan jika berpeluang untuk berkolaborasi dengan EH! sekali lagi.