Gambar : Instagram Yuna
Sebelum ini, kecoh di media sosial akan video parodi yang dirakam oleh program tv MeleTOP menyamai sedutan muzik video Yuna yang berjudul Crush gandingannya bersama penyanyi popular dunia, Usher.
Ia menjadi sebuah video viral yang dianggap lucu bagi ramai pihak tetapi bagi penyanyi tersohor negara yang kini menetap di Los Angeles ini, ia suatu yang memalukan dan boleh merosakkan reputasi serta karier beliau di Amerika Syarikat.
Ketika pelancaran koleksi Hatta Yuna di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur semalam (23 Ogos) Yuna sempat menegaskan yang dirinya bukan tidak boleh menerima sebarang gurauan, atau mudah terasa dengan video parodi yang disiarkan itu.
Tetapi dirinya menjelaskan yang kerjaya seninya di Amerika boleh berakhir pada bila-bila masa sahaja dek kerana video parodi viral tersebut.
“Saya bukanlah seorang yang ‘untouchable’ kerana sebelum ini pun mereka pernah menyiarkan video parodi saya. Bagaimanapun saya tidak pernah marah, selain menganggapnya sebagai sesuatu yang melucukan. Tetapi, apabila mereka memaparkan babak pelakon komedi Syuk Joras (SJM) yang digelapkan wajahnya seolah-olah Usher, itu saya tak boleh terima. Bayangkan saya di sana seorang diri. Bagaimana kalau perkara ini diperbesarkan, pasti saya yang akan menanggung akibatnya,” jelas Yuna kepada BH Online di pelancaran tersebut.
Tambah Yuna lagi,”Saya berusaha keras untuk berada pada kedudukan sekarang dan kalau boleh saya tidak mahu perkara seperti ini memusnahkan segala impian saya.”
Yuna turut menyatakan yang dirinya mempunyai ramai sahabat dan peminat yang berbeza bangsa dan agama. Baginya, ia penting untuk menjaga hati setiap orang. Ia bukanlah perkara yang boleh dimainkan kerana tanggungjawab yang dipikul adalah besar kerana dirinya membawa nama dan imej negara.
Bahkan Yuna turut berkata, “Saya bukan saja Yuna dari Malaysia, tetapi juga Amerika dan juga seorang Muslim.”