Bertenaga! Konsert sempena Digi Live K-Pop Party 2011 yang berlangsung baru-baru ini benar-benar menggegarkan Stadium Negara dengan jeritan ribuan peminat. Membariskan tiga artis ternama Korea – G.Na, Beast dan 4minute, suasana bertambah hangat sebaik G.Na muncul di pentas dengan menyampaikan tiga buah lagu. Dengan gaya ala ‘rock chic’, G.Na memberikan persembahan mantap khas untuk peminatnya di Malaysia.
Kemunculan 4minute yang terdiri daripada lima anak gadis menawan juga tidak kurang hebatnya. Langkah tarian bertenaga yang mengiringi persembahan membuatkan peminat terus terpaku menonton aksi mereka. Dengan menyanyikan lima buah lagu, 4minute turut kelihatan kagum apabila kebanyakan lagu-lagu mereka ‘dihafal’ sebahagian besar peminat yang hadir. Paling melucukan, sambutan peminat diberi pujian oleh gadis-gadis 4minute dengan perkataan, “Bagus!”
Mengakhiri persembahan, kumpulan penyanyi lelaki sensasi, Beast turut menguasai konsert. Dengan menyampaikan lagu hit mereka, Mastermind, peminat kelihatan lebih teruja menyaksikan kehebatan kumpulan ini. Mungkin disebabkan wajah-wajah mereka yang kacak menyebabkan ramai gadis yang hadir pada malam itu tidak sabar-sabar untuk menantikan persembahan penyanyi kesayangan mereka ini.
Yang pasti, mereka mungkin bersepakat untuk tampil serba hitam. Tetapi dengan gaya fesyen tersendiri setiap artis yang menghiburkan pada konsert itu, ternyata tidak menghampakan. Mereka masih kelihatan menarik, trendy dan segar untuk ditonton. Apatah lagi rentak tarian mereka benar-benar bertenaga hingga peminat turut sama menari!