Siri sitkom muzikal pendek Disney Channel yang kini semakin mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah beberapa lagi negara Asia lain, bakal kembali dengan musim kedua! Sitkom yang mencecah jumlah penonton seramai 2.08 juta orang ini pasti tidak akan menghampakan peminat memandangkan pelbagai babak menghiburkan diselitkan dalam siri itu.
Menampilkan barisan pelakon muda ternama seperti Nurul Elfira Loy, Aedy Ashraf dan Nasiruddin Nasir, Disney Channel turut mengetengahkan ramai bakat baru antaranya Ashmen Iskandar Weiss, Juzzthin, Alaina Stephen, Nicholas Cheng, Sweet, Amirul Ahmad dan Iezahdiyana Alaudin.
Pengarah Pemasaran dan Kreatif Disney Channels Southeast Asia, Jennifer Ng, berkata musim kedua diteruskan selepas sambutan yang diberikan penonton amat menggalakkan. Katanya musim kali ini menjanjikan aksi yang lebih menarik berikutan tetamu selebriti tempatan turut terlibat seperti Naz, Rafidah Abdullah dan pemain squash negara, Azlan Iskandar.
Sitkom menghiburkan ini akan memulakan siaran pertamanya pada 12 Mac, Sabtu pada jam 4.50 petang dan 5.30 petang di Disney Channel (Astro Saluran 165) dan akan disiarkan seterusnya pada setiap hari Sabtu dan Ahad pada 12 tengahari.