Jika dinilai pada hayat perjuangan Mierul Aiman rasanya dia masih di peringkat awal, orang kata masih hijau. Tetapi andai dilihat pada resume kerjanya, sudah banyak karya menarik yang dibintanginya. Bukan sekadar popular malah seimbang dengan kualiti. Langkahnya ke gelanggang seni bermula apabila dia dinobatkan sebagai juara sebuah pencarian bakat, dari situ satu demi satu langkah dibuka hinggalah dia mengecapi kemasyhuran efek tular siri ‘Projek: High Council’ tahun lalu. Terkini, jejaka yang berusia 26 tahun ini sedang rancak mempromosi naskhah barunya menerusi ‘Projek: Exit’.
Apa yang kamu suka tentang diri kamu?
Saya suka bahwa saya menyukai diri saya sendiri. Dulu saya tidak selalu begitu. Hidup terasa jauh lebih baik ketika saya menghargai siapa diri saya dari memberi fokus kepada apa yang tidak saya miliki. Sebagai seorang pelakon, kita perlu ikhlas meminjam pengalaman dan perasaan kita sendiri untuk satu-satu watak, ia tidak akan berhasil sekiranya saya tak menghargai setiap apa yang saya lalui.
Kamu rasa lebih tua atau lebih muda dari usia sebenar?
Saya rasa lebih tua dengan visual yang saya sediakan daripada luaran. Saya melihat keluarga adalah segalanya dan mencipta keluarga dengan menjadi ketua keluarga adalah syurga yang sebenar. Isteri, anak-anak, semangat, perasaan, misi, kenangan, cinta dan kasih sayang dapat dihirup di dalam sebuah keluarga. Apa yang saya lakukan sekarang mungkin adalah contoh yang baik dan tak baik untuk saya faham ketika menjadi ketua empayar saya sendiri.
Apakah satu perkara yang kamu harap mempunyai peluang melakukannya lebih kerap?
Menghabiskan masa dengan Tuhan. Masa, peluang sentiasa ada, tapi melawan dengan diri sendiri untuk mengukuhkan iman dan kekal dalam pencarian ruang ini adalah perang yang terbesar. Saya pendosa dan berazam untuk menjadi hamba yang sentiasa takut dengan-Nya.
Apakah rutin atau perkara harian yang membuatkan kamu feel good?
Bangun tidur, bernafas dan masih mempunyai perasaan. Cukup untuk saya feel good untuk mencipta rancangan hari saya.
Jika kamu diberi peluang kedua untuk mengulangi satu momen dalam hidup, apakah pilihan kamu?
Saya akan mengulangi hari tersedih saya pada 2018. Hari dimana saya kecewa dengan diri saya sendiri. Merasakan dunia akan hancur. Nafas saya tidak lagi berbaloi. Jeritan tidak lagi mencukupi. Masa bergerak lebih perlahan.
Apa yang saya ubah? saya tidak akan ubah apa apa. Saya cuma ingin merasai balik bagaimana menjadi manusia dalam titik terendah. Supaya bila kita di puncak teratas, kita sedar dunia ini hanya sebuah roda. Selepas sungaiyang jernih mungkin akan ada yang mengeruhkannya. Kerja Dia.
Jika kamu boleh katakan sesuatu kepada diri kamu sewaktu remaja dulu, apakah ia?
Lakukan semua perkara perlu bersebab. Ia tak penting untuk dunia. Ia penting untuk diri sendiri. Supaya tahu mana pucuk pangkalnya selepas kita melalui akibatnya.
Jika kamu tidak perlu bekerja untuk mendapatkan duit, bagaimana kamu mengisi masa kamu?
Back to one. Kembali kepada keluarga. Lakukan apa sahaja untuk melindungi mereka, jadikan mereka di tempat yang selamat. Mencari kesempurnaan dengan menggali kepuasan dalam kekeluargaan.
Jika kamu boleh memilih superpower, apakah yang menjadi pilihan?
Bercakap dan memahami pelbagai bahasa. Daripada situ saya lebih memahami apa perbezaan dan persamaan berbillion manusia di dunia ini.Kuantiti masalah dan solusi akan lebih meningkat. Kita akan diselamatkan dan menyelamatkan manusia lebih banyak.
Apakah definisi ‘happy life’ bagi kamu?
Mendapat kepuasan dalam setiap apa yang kita lakukan. Kepuasan adalah kekayaan sebenar. Puas dari apa yang kita dengar, lihat, hidu, dan rasa.
Kongsi sedikit kehidupan kamu ketika berusia 25 tahun?
Saya bersyukur, saya lebih ikhlas dalam memenuhkan periuk nasi saya, lebih berazam dengan melihat bukti ikhlas itu. Lebih banyak lihat sebab dalam setiap apa yang saya lakukan. Saya diberi peluang untuk merasai kenderaan pertama saya, saya gembira, mendengar, bertengkar, refleksi, bersedih. Saya masih hidup sebagaiseorang manusia.
Ucapan buat EH! sempena ulang tahun ke-25
Selamat ulang tahun yang ke-25, EH! Semoga perjalanan yang telah dilalui membawa banyak kenangan indah dan pengalaman berharga. Teruslah menginspirasi dan memberi kebaikan kepada semua. Semoga tahun ini dipenuhi dengan kejayaan, kebahagiaan, dan cinta. Cheers to another amazing year ahead!
Arahan Kreatif & Penata Gaya: Khairul Abidin, Arahan Seni: Amirul Arif, Fotografi: Aaron Lee, Lensworks Production, Pembantu Penyelaras: Farah Ain, Erdina & Eqa Zulkifli, Grooming: KF Bong (menggunakan Sephora Collection), Dandanan: Juno Ko.
BACA: #EHTOP25 Hael Husaini