Sudah ada pilihan jenis ikatan untuk samping anda bagi Raya 2026? Ramai yang masih belum tahu bahawa samping sebenarnya mempunyai pelbagai gaya ikatan yang boleh menyerlahkan lagi penampilan busana Melayu.
Sebenarnya banyak lagi gaya samping yang ramai lagi tak pernah dengar atau dah dilupakan. Walaupun samping sering dianggap sekadar pelengkap kepada baju Melayu, cara mengikat dan melipatnya sebenarnya boleh mengubah keseluruhan penampilan. Menariknya, terdapat beberapa gaya ikatan samping yang jarang diketahui dan dicuba.
Ini adalah antara 5 contoh jenis ikatan samping tradisional yang wujud di Malaysia:
Ikatan Pancung

Samping atau nama lainnya kain dagang, dilihat mempunyai pelbagai jenis ikatan untuk menjadikan penampilan kita lebih kemas dan bersih terutamanya untuk majlis rasmi, perkahwinan dan perayaan. Ikatan Pancung ini menggunakan kain lepas atau kain yang tidak dijahit, dililit di pinggang dan hujung kain di pinggang dan dipancung, dengan hujung kain dibiarkan terjuntai ke bawah. Gaya ini menunjukkan taraf sosial, dan sebelum ini hanya untuk raja dan keluarga di-raja sahaja. Direka untuk memudahkan pergerakan dan menambah keselesaan.
Ikatan Kembung

Seperti ikatan Pancung, ikatan Kembung secara tradisinya juga dikhaskan untuk golongan pembesar, menteri dan individu yang memiliki gelaran atau darjah kebesaran tertentu. Ini supaya dapat membezakan golongan pembesar daripada golongan raja dan rakyat biasa. Dengan mengumpulkan dan menyelitkan lipatan kain untuk menampilkan bentuk bunga atau sengaja menampakkan kembung di bahagian tengah samping, ikatan yang satu ini direka untuk menampakkan lagi kemegahan dan posisi tingginya dalam kalangan masyarakat.
Ikatan Lingkup
Untuk sesiapa yang mencari ikatan samping yang ringkas dan lazim, boleh cuba Ikatan Lingkup untuk raya yang akan datang ataupun apa-apa majlis yang memerlukan . Walapun sebenarnya ramai sahaja yang melakukan ikatan ini, tetapi ramai juga tidak mengetahui bahawa nama teknikalnya merupakan Lingkup. Dibuat dengan mengikat kain samping di pinggang dan melipat bahagian atasnya ke bawah (lingkup) untuk merapikan ikatan.
Ikatan Anak Raja Lima

Salah satu daripada jenis ikatan tradisional yang masih diamalkan dalam majlis-majlis rasmi dan perayaan. Berbeza dengan ikatan ringkas seperti samping Ikatan Lingkup, gaya ini mempunyai struktur yang lebih terperinci dan dikaitkan dengan penampilan yang segak dan formal.
Pemakaiannya melibatkan lipatan yang ditarik ke bahagian tengah atau tepi badan sebelum disimpul rapi di pinggang. Selain ikatan sampin, istilah ini kadangkala dikelirukan dalam konteks sejarah dengan Lima Putera Bugis Bersaudara (Opu Daeng Lima Bersaudara) yang merupakan tokoh penting dalam sejarah kesultanan Melayu.
Ikatan Bunga/Simpul

Ikatan Bunga, seperti namanya, melibatkan teknik memusingkan lebihan kain sehingga membentuk kelopak bunga atau simpul yang kemas di bahagian pinggang. Ikatan ini mempunyai mempunyai dua jenis bunga iaitu Bunga Tanjung, disebut gaya paling klasik dan sering dikaitkan dengan “Abang Jamil” dalam filem Madu Tiga, yang menyerupai bentuk bunga tanjung yang mekar manakala Bunga Puteri Perak pula ikatan yang lebih besar dan tersusun khas direka untuk baju raya wanita.


