Mulakan pagi Raya anda dengan membuat persediaan gaya solekan supaya raya lebih seronok dan memikat, memastikan penampilan kekal segar dan berseri sepanjang hari ketika menziarahi sanak saudara.
Bagi anda yang mahu pertama kali ataupun teringin mencuba gaya solekan baru, perlulah ada rujukan dan inspirasi. Di era 2026 ini, senang sahaja untuk kita mendapatkan tutorial dan tunjuk ajar, terutamanya daripada influencer tempatan yang bukan hanya terkenal, tapi dipercayai kehebatannya!
Ini merupakan 7 antara influencers yang konsisten menghasilkan gaya solekan yang boleh anda jadikan inspo untuk Raya 2026.

Kalau sebut nama Nana, pasti semua tahu terutamanya yang mengenakan gaya solekan harian ataupun yang baru belajar. Nana Tajudin, seperti raya-raya sebelum ini juga, menyediakan tutorial khas untuk Raya 2026. Gaya solekan kali ini bertemakan strawberry matcha, lebih kepada ton merah jambu dan glowy. Pemerah pipi berwarna merah jambu gelap serta pembayang mata dengan tona warna yang seakan sama, tidak lupa juga highlighter di penjuru mata, kelopak mata dan pipi. Untuk bibir pula, Nana menggunakan teknik glossy lips untuk mencapai glowy look.

Troy Ling, full glam merupakan gaya solekan utama yang tak pernah gagal. Bak kata Troy, Raya mesti kena glam, supaya kita dapat menyambut dengan penuh yakin dan chic. Dengan asas solekan yang flawless, teknik contour dan highlight yang menyerlah, bulu mata lentik dramatik serta sentuhan shimmer pada kelopak mata dan bibir bold yang menjadikan keseluruhan penampilan lebih memukau sepanjang pagi Raya hingga ke rumah terbuka malam.

Jurusolek artis (MUA) terkenal, Alha Alfa memulakan himpunan 30 Ramadan 30 Selebriti 30 Makeup Raya dengan bermacam-macam tema. Dengan memanggil pelakon-pelakon atau artis tempatan sebagai model, Dato’ Alha memberi tunjuk ajar dan pada masa yang sama, mengkongsikan produk yang digunakan supaya gaya solekan menjadi.

Sesiapa yang mahu dan menyasarkan untuk mencapai penampilan glowy dan agak ringkas, boleh rujuk tutorial yang disediakan oleh Aina Farhana. Dengan sentuhan terakhir dan gaya solekan yang lembut, menambah keanggunan kepada gaya solekan Raya anda untuk tahun 2026 ini. Aina Farhana juga memberikan sedikit tips supaya gaya solekan tahan lebih lama, terutamanya hari Raya dimana kita sibuk menguruskan tetamu dan kekurangan masa untuk reapply mekap.

Yana Hassan, terkenal dengan kandungan berkaitan kecantikan, tutorial solekan, dan gaya hidup. Tidak terlepas peluang untuk sertai trend gaya solekan raya, Yana juga muat naik tutorial video bagaimana mahu nampak lagi berseri Raya nanti. Untuk mereka yang tidak berani untuk mencuba gaya solekan yang tebal atau dramatik, cute makeup look merupakan salah satu gaya solekan yang sesuai dan tidak berlebihan. Kombinasi palet merah jambu dan lens yang terang dapat menyerlahkan lagi muka anda dan pas untuk gaya Raya yang comel-comel.

Terkenal dengan gaya solekan yang menggabungkan pelbagai teknik antarabangsa untuk menghasilkan gaya “signature” yang unik, MUA Fatin Raihan kembali dengan gaya solekan Raya versi 2026. Lain daripada yang lain, Fatin memilih gaya solekan yang lebih pekat dan bold. Pembayang mata yang gelap seperti warna hitam dan sedikit coklat, serbuk gliter di bahagian atas kelopak mata. Highlight yang dicalit pada bahagian pipi, hujung mata dan batang hidung untuk memberi efek yang lebih gempak dan WOW.

30 Hari 30 Makeup Look Raya disediakan untuk sesiapa yang masih lagi belum jumpa gayasolekan yang sesuai dan padan dengan diri. Mengikuti tema warna, Nur Syafinaz mempelbagaikan teknik, terutamanya pada pembayang mata. Banyak juga pilihan atau tentatif lain ditunjukkan bagi memudahkan urusan pada Hari Raya.
