Setiap kali menjelang Syawal, perhatian biasanya tertumpu kepada busana raya yang bakal digayakan. Namun dalam melengkapkan sesuatu penampilan, aksesori juga memainkan peranan penting sebagai sentuhan akhir yang mampu menaikkan lagi seri dan gaya penampilan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jenama aksesori tempatan semakin mendapat perhatian dalam kalangan pencinta fesyen. Dengan rekaan yang segar, moden dan mempunyai identiti tersendiri, label lokal kini tampil lebih berani meneroka kreativiti mereka. Ada yang mengangkat elemen warisan budaya dalam bentuk yang lebih kontemporari, manakala ada juga yang mengetengahkan estetika minimal yang mudah digayakan untuk pelbagai acara.
Jika anda ingin menambah sedikit sentuhan istimewa pada gaya Syawal tahun ini, aksesori yang tepat mampu memberikan impak besar pada keseluruhan penampilan. Sama ada anda gemarkan rekaan yang lebih bold atau gaya minimal yang elegan, lima jenama aksesori lokal ini boleh menjadi pilihan untuk melengkapkan gaya Raya anda dengan lebih bergaya.
1. Oh Dayang
Dikenali dengan rekaan berinspirasikan kain batik yang diolah dalam gaya moden, Selain anting-anting, Oh Dayang turut menawarkan pelbagai aksesori lain seperti rantai, brooch dan aksesori rambut yang menampilkan elemen tekstil batik sebagai identiti utamanya. Setiap rekaan dihasilkan secara handcrafted menggunakan material berkualiti seperti 925 sterling silver serta saduran emas 18K, menjadikannya selesa dipakai dan sesuai untuk mereka yang ingin menambah sentuhan unik pada gaya Raya.
2. LUNA
Merupakan jenama aksesori mampu milik yang diasaskan oleh NH Prima International, syarikat yang sama di sebalik jenama fesyen modest terkenal milik selebriti Neelofa. Dikenali dengan rekaan yang moden dan feminin, LUNA menawarkan pelbagai pilihan aksesori yang versatil dan mudah digayakan untuk pelbagai acara daripada gaya harian hinggalah ke penampilan istimewa seperti di hari raya. Bagi yang ingin melihat koleksi mereka secara dekat, LUNA juga mempunyai butik fizikal di Suria KLCC, Sunway Pyramid dan IOI City Mall.
3. Talee Studio
Talee Studio adalah jenama aksesori artisan yang berasal dari Sabah dan diasaskan oleh Lorraine Lee. Dikenali dengan rekaan unik berasaskan teknik simpulan tali, setiap aksesori dihasilkan secara handmade dan diinspirasikan daripada simpulan nautika yang memberikan identiti tersendiri pada setiap rekaan. Menggunakan fiber berkualiti yang tahan lama, aksesori dari Talee Studio ini bukan sahaja ringan dan selesa dipakai, malah sesuai digayakan setiap hari. Dengan sentuhan artistik yang berbeza daripada aksesori konvensional, jenama ini menjadi pilihan bagi mereka yang gemarkan rekaan yang unik.















